BELANJAWAN 2025 > BERITA

Air Pasang Besar Dijangka Landa Perlis, APM Siap Siaga Kemungkinan Banjir

16/10/2024 05:47 PM

KANGAR, 16 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis bersiap siaga dengan kemungkinan banjir gelombang ketiga di negeri itu pada Jumaat hingga Ahad (18-20 Okt) ini berikutan dijangka berlaku fenomena air pasang besar hingga mencecah ketinggian 3.7 meter.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata 90 anggota APM Perlis diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan kejadian itu termasuk kesediaan aset seperti lori, kenderaan pelbagai guna dan ambulans.

Beliau berkata Jumaat hingga Ahad dijangka kemuncak kepada kejadian fenomena air pasang besar itu yang berisiko menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Kita beri tumpuan pada hari kemuncak tesebut. Bacaan paras air laut dijangka paling tinggi mencecah 3.7 meter  pada 19 Okt ini (Sabtu)  iaitu lebih kurang 1.15 pagi.

“Pada Jumaat dan Ahad pula dijangka paras air mencecah hingga 3.6 meter masing-masing pada 12.42 tengah malam dan 1.49 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Izaimi berkata penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) berkapasiti besar turut diberikan perhatian antaranya di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Dewan Kolej Vokasional Kangar dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau.

“Semua tempat ini dalam perhatian jika diperlukan pembukaan PPS berkapasiti besar,” katanya.

Mohd Izaimi berkata terdapat risiko banjir jika air pasang besar itu berlaku serentak dengan hujan lebat dan antara kawasan yang mungkin terjejas ialah Kampung Bakau, Kampung Tok Kandang, Kampung Kota Keran dan Kampung Repoh bagi daerah Kangar.

“Sehubungan itu, penduduk kawasan berkenaan perlu peka dengan jangkaan air pasang besar ini dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir demi menjaga keselamatan diri serta harta benda masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan