BELANJAWAN 2025 > BERITA

ITI Labuan Peroleh Kerjasama Industri Strategik

16/10/2024 05:57 PM

LABUAN, 16 Okt (Bernama) -- Institut Latihan Perindustrian (ITI) Labuan telah mengukuhkan hubungannya dengan pemain industri hari ini dengan menandatangani beberapa dokumen kerjasama strategik dengan firma-firma terkemuka dalam sektor kejuruteraan serta minyak dan gas.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan peluang latihan industri untuk pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

Institut itu merasmikan perkongsiannya dengan Turcomp Engineering Services Sdn Bhd melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan bersama Serba Mahir Sdn Bhd melalui Memorandum Kerjasama (MOC).

Selain itu, ITI Labuan menandatangani sembilan Surat Maksud (LoI) dengan pelbagai firma industri, membuka peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan praktikal.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha yang merasmikan majlis menandatangani perjanjian itu hari ini menekankan kepentingan kerjasama sedemikian sambil menyatakan bahawa ia mewakili usaha berterusan untuk menyelaraskan program latihan ITI dengan keperluan industri.

"Kerjasama ini akan mewujudkan prospek pekerjaan yang lebih besar untuk pelajar ITI...dengan memastikan program kami disesuaikan dengan permintaan industri, kami melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor masing-masing," kata Rospiagos.

Beliau menekankan kesan positif perkongsian ini terhadap kadar kebolehpasaran graduan ITI.

“Kadar kebolehpasaran lepasan institut ini meningkat kepada 92.4 peratus tahun ini berbanding 83.1 peratus pada 2022,” katanya.

Program teknologi elektrik telah menyaksikan kadar kebolehkerjaan tertinggi pada 95 peratus, diikuti teknologi penyelenggaraan mekanikal dan teknologi kimpalan masing-masing pada 93 peratus serta penyejukan dan penyaman udara pada 91 peratus.

Rospiagos berkata perkongsian ini dijangka akan memastikan ITI Labuan kekal sebagai sumber tenaga mahir yang penting untuk sektor perindustrian Malaysia, terutamanya dalam kejuruteraan serta minyak dan gas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan