BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Perak Dan Kedah Meningkat

16/10/2024 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak dan Kedah meningkat sedikit manakala di Pahang berkurangan dengan keseluruhannya 3,948 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat 8 malam ini.

Di PERAK, laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah mangsa yang berlindung di 11 PPS meningkat kepada 1,191 orang malam ini berbanding 1,170 petang tadi.

Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air Sungai Bidor di Hilir Perak melepasi tahap bahaya manakala Sungai Kampar serta Sungai Rui melebihi tahap amaran dan Sungai Perak di Perak Tengah pula melepasi tahap waspada.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS meningkat kepada 1,000 orang daripada 289 keluarga dari tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Baling.

Laman sesawang rasmi Public Info Banjir memaklumkan paras air Sungai Anak Bukit di Kota Setar melepasi tahap bahaya manakala Sungai Padang Terap di Kubang Pasu melebihi tahap amaran.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Temerloh berkurangan kepada 1,643 orang daripada 497 keluarga.

Di MELAKA, mangsa banjir di Jasin yang berlindung di SK Seri Mendapat kekal 31 orang berbanding 187 pagi tadi dengan dua PPS ditutup.

Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Batu Pahat kekal 17 orang yang berlindung di PPS SK Seri Bunut sejak petang tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa turut kekal 66 orang dari daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai.

Paras air Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor dilaporkan melepasi tahap bahaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan