BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025 Diharap Tingkat Fasiliti, Kemudahan Untuk Golongan OKU Dan Warga Emas

17/10/2024 08:22 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Fasiliti dan kemudahan awam untuk Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas, diharap dapat terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2025 bagi menjamin kesejahteraan dan memberi keselesaan buat golongan itu.

Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia K. Bathmavathi berkata ketika ini, tahap keselamatan dan kebolehgunaan kemudahan bagi golongan berkenaan masih rendah, sama ada melibatkan perkhidmatan bas, rel, lapangan terbang dan feri sekali gus menyukarkan mereka memilih perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama.

“Kesedaran mengenai penyediaan kemudahan yang mesra OKU masih rendah dan belum mencapai standard yang sepatutnya, terutamanya melibatkan isu first- and last-mile connectivity yang sangat tidak mesra OKU.

“Penyedia perkhidmatan pengangkutan perlu cakna dengan keperluan OKU seperti laluan jubin sentuh, kemudahan audio dan tulisan braille untuk OKU penglihatan, selain keperluan kaunter khas bagi OKU fizikal kerana penggunaan kerusi roda selain tanjakan di laluan utama dan penghubung untuk menaiki kereta api dan bas,” katanya kepada Bernama.

Bathmavathi turut mencadangkan supaya kerajaan mengenakan denda yang tinggi bagi kesalahan pengunaan tempat letak kereta OKU, untuk memastikan ia tidak disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata ketika ini, denda yang dikenakan serendah RM50 dan dianggap tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan selain mengambil hak golongan OKU yang sudah menghadapi pelbagai kesukaran akibat kekurangan mereka. 

Bathmavathi juga berharap kerajaan memastikan dasar satu peratus penjawat awam kategori OKU dalam perkhidmatan awam ditambah baik, bagi memastikan pelaksanaannya mencapai sasaran.

“Kita mempunyai ramai lepasan universiti dalam kalangan OKU yang sangat berpotensi untuk membawa perkhidmatan awam ke tahap lebih baik dan kepakaran mereka setanding graduan normal yang kadangkala boleh memberi saingan kepada mereka.

“Jadi diharapkan kerajaan dapat membantu menempatkan mereka di sektor awam, dengan menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan bagi memastikan keterbatasan upaya tidak menghalang mereka melaksanakan tuntutan kerja sekali gus lebih kompetensi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) Dr Norlaili Alias berharap Belanjawan 2025 juga menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban wanita  berkerja.

Beliau berkata pemberian beberapa bentuk bantuan seperti bantuan akses ke pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti, peningkatan kemudahan pusat jagaan di tempat berkerja serta kemudahan perkhidmatan penjagaan warga emas, dapat meringankan beban golongan wanita yang berkerja.

Norlaili juga berharap agar para usahawan wanita dapat memperoleh fleksibiliti dalam pengurusan masa kerja mereka, untuk mengimbangi tanggungjawab kerja serta keluarga.

“Setiap segmen seperti kerajaan, industri dan akademik yang merangkumi sosioekonomi penuh wanita perlu diberi peluang untuk berkolobrasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan