BELANJAWAN 2025 > BERITA

MPPN Lulus Cadangan Pembangunan Ruang Sosial, Ruang Fizikal Dalam Kawasan KRT

17/10/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) meluluskan cadangan pembangunan ruang sosial dan fizikal di dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan strata kos rendah dalam bandar.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bertujuan memperkasakan dan memperkukuh perhubungan serta pembangunan komuniti di Malaysia melalui ruang sosial dan fizikal sebagai tapak integrasi selaras dengan usaha Pemerkasaan KRT Progresif. 

“Tapak dipilih berdasarkan keaktifan dan partisipasi positif KRT serta penduduk setempat; kawasan berpopulasi padat dan kawasan perumahan strata tanpa ruang komunal/ruang komunal terhad/ruang sedia ada yang perlu penambahbaikan seiring dengan keperluan semasa.

“Projek ini juga diharap dapat memperkasakan komuniti dengan memberikan mereka ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kejiranan,” menurut kenyataan itu.

Perkara itu antara dibincangkan pada Mesyuarat MPPN yang berlangsung semalam di Bangunan Parlimen, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang serta barisan ahli Majlis seramai 12 orang terdiri  tokoh masyarakat.

Hasil Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah yang mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi turut dibincangkan dalam mesyuarat itu. 

“Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak ini boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional melalui beberapa strategi seperti merapatkan jarak sosial melalui pembangunan modal insan dan infrastruktur,” menurut kenyataan itu.

Fadillah dalam mesyuarat itu turut menekankan bahawa usaha mengharmonikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya harus ditambah baik oleh kementerian termasuk pihak swasta selain memohon kementerian memperbanyakkan dialog antara penganut pelbagai agama.

Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil MPPN yang dipertanggungjawabkan memantau dan menangani tuturan hasutan (hate speech) serta kenyataan berbaur hasutan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesepaduan masyarakat sejagat.

Mesyuarat turut bersetuju agar keahlian MPPN ditambah baik dengan melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan