BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih 90 Peratus Daripada 177,000 OBS Di Kelantan Tidak Carum SKSPS

17/10/2024 02:45 PM

BACHOK, 17 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mengesan lebih 90 peratus daripada 177,000 penduduk di negeri ini yang bekerja sendiri masih tidak mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). 

Pengarahnya Nora Yaacob berkata masih ramai Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang tidak mempunyai kesedaran untuk mencarum menerusi skim berkenaan memandangkan setakat ini hanya 10,300 OBS sahaja telah mencarum SKSPS.

Beliau berkata rakyat Kelantan dilihat masih kurang cakna merebut peluang mencarum SKSPS sedangkan ia menawarkan pelbagai faedah antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan faedah pendidikan.

“Kadar caruman hanya serendah RM23.30 bagi tempoh setahun selepas diberikan subsidi oleh kerajaan lebih 90 peratus. 

“Inisiatif subsidi bagi skim ini juga telah dilanjutkan oleh kerajaan hingga 31 Dis ini maka saya berharap orang ramai terutamanya rakyat di negeri ini dapat merebut peluang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan serta kotak makanan kepada balu nelayan yang lemas di Kampung Aur Tanjung, di sini hari ini.

Nora berkata jumlah caruman ini tidak membebankan kerana mereka boleh mendapat faedah yang memberikan manfaat kepada pencarum terutama jika berlaku sebarang kemalangan malah kesinambungan pendapatan itu sentiasa ada kepada keluarga mereka sehingga anak mereka berusia 21 tahun atau sehingga meraih ijazah pertama.

Beliau berkata Perkeso menyasarkan lebih ramai OBS termasuk dalam sektor pertanian, perniagaan, perikanan, pembuatan, premis penginapan, perniagaan dalam talian, kesenian, ejen insurans, penjaja dan sebagainya tampil untuk mencarum SKSPS.

“Setakat ini, mengikut maklumat diperoleh bagi sektor perikanan sahaja lebih 17,000 golongan nelayan tidak berdaftar masih tidak mencarum menerusi skim ini. 

“Bermula pada Jan 2025 skim ini akan diwajibkan kepada penjaja yang berlesen dengan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya sambil berharap bukan sahaja penjaja bahkan adalah lebih baik turut mewajibkan kepada semua sektor walaupun berstatus OBS. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan