BELANJAWAN 2025 > BERITA

KTMB, YAKEB Bawa Legenda Sukan Naik Tren Khas Dekati Masyarakat

18/10/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 30 legenda sukan diraikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan menaiki tren khas dari Stesen Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan menerusi program “KTMB dan Atlet Lejen Jupo Ore Tumpat”, malam ini.

Program kerjasama kali keempat antara KTMB dan YAKEB tersebut bertujuan menzahirkan penghargaan buat bekas atlet kebangsaan yang banyak menabur jasa dalam mengharumkan nama negara.

Ia dalam masa sama diadakan bagi mendekati masyarakat dengan memberi pendedahan dalam bidang sukan, pendidikan dan kesejahteraan setempat.

Majlis pelancaran program itu dimulakan dengan simbolik pelepasan tren khas oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim di Stesen Kuala Lumpur di sini pada 11 malam, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. 

Antara bekas atlet kebangsaan turut serta dalam program itu Datuk Malek Noor, Datuk Santokh Singh, Shahrin Majid, Datuk Zaiton Othman, Rosnani Ismail dan Fazdlun Abas.

Perjalanan mengambil masa lebih 16 jam bermula dari Stesen Kuala Lumpur menyusuri jajaran Pantai Timur dan dijadualkan tiba di Stesen Tumpat pada 3.50 petang esok, dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk temu mesra bersama peminat dan penumpang kereta api.

Program diteruskan pada Sabtu ini dengan aktiviti termasuk klinik sukan yang menampilkan bekas atlet kebangsaan memberikan tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman dalam bidang sukan bola sepak dan bola jaring. 

Kemuncak program itu perlawanan bola sepak persahabatan antara warga KTMB dan bekas pemain kebangsaan yang akan diadakan di Padang KTM Tumpat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan