BELANJAWAN 2025 > BERITA

Taiwan Cari 10,000 Jurutera Setiap Tahun Bagi Perkukuh Industri Semikonduktor

17/10/2024 03:46 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Taiwan sedang mencari 10,000 jurutera semikonduktor dan industri berkaitan setiap tahun bagi menyokong peranannya sebagai hab utama industri semikonduktor, dengan Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) menjadi pemain utama industri berkenaan.

Timbalan Datuk Bandar Kaohsiung Charles Lin berkata dari 2024 hingga 2027, TSMC akan membina lima faundri semikonduktor termaju di Kaohsiung yang menyebabkan permintaan yang tinggi untuk jurutera.

“Faundri (kilang menuang logam) itu masih dalam pembinaan, tetapi faundri pertama akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini dengan sejumlah lima faundri dijangka beroperasi menjelang akhir 2027, mewujudkan ekosistem yang komprehensif.

“Menurut kajian, setiap jurutera di TSMC akan memerlukan sokongan daripada lapan jurutera dalam rantaian bekalan, yang membawa kepada ekosistem yang besar.

“Kita juga perlu memberi tumpuan kepada peringkat yang paling tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), pembuatan cip, ujian dan pembungkusan serta mewujudkan ekosistem perindustrian menegak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024.

Lin berkata perkara paling penting ialah Taiwan telah membangunkan rangka kerja yang kukuh sejak 40 tahun lalu dalam industri semikonduktor, meliputi reka bentuk IC kepada ujian dan inisiatif pasaran global yang membolehkan mereka menguasai 65 peratus bahagian pasaran.

“Taiwan memerlukan bakat dari Malaysia, jadi kami telah menyediakan program pendidikan untuk mengalu-alukan pelajar Malaysia ke Taiwan,” katanya.

Beliau berkata Kaohsiung berhasrat untuk mencipta platform yang melangkaui keperluan domestik, dengan matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan saiz industri itu secara besar-besaran dengan menjemput bakat asing ke Taiwan.

“Apabila pelajar universiti menamatkan ijazah sarjana mereka, mereka boleh kekal di Taiwan selama beberapa tahun sebelum pulang ke negara asal mereka, yang mana mereka boleh menyumbang kepada eksport. Pendekatan ini adalah teras kepada dasar bakat kami,” katanya.

Lin berkata penyertaan delegasi daripada Kaohsiung dan syarikat teknologi Taiwan dalam SDEC adalah untuk melibatkan diri dengan perniagaan di Selangor dan Malaysia, memfokuskan kepada perkongsian yang berpotensi dalam penjagaan kesihatan pintar dan platform mobiliti.

Tambahnya banyak syarikat Taiwan berminat untuk menubuhkan syarikat pemula niaga di Selangor.

“Matlamatnya adalah untuk memupuk pertumbuhan perniagaan di samping melatih bakat tempatan di Malaysia. Kami mencari kerjasama yang lebih mendalam yang melangkaui penjagaan kesihatan bagi merangkumi pendekatan yang lebih komprehensif.

“Bandar pintar mesti mengamalkan strategi holistik; ia tidak boleh menumpukan kepada satu aspek sahaja. Paling penting, ia harus mengutamakan rakyat,” katanya.

Di bawah program Cross International Academia Taiwan, jurutera semikonduktor Malaysia akan menerima gaji tahunan yang kompetitif sehingga RM120,000 selepas menamatkan pengajian dan bekerja di Kaohsiung.

Sebagai bandar pelabuhan utama di Taiwan, Kaohsiung telah membina asas ekonominya melalui industri tradisional, termasuk pembuatan keluli, petrokimia, pertanian dan perikanan bagi sepanjang lima dekad yang lalu.

Pada masa ini, lebih separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bandar itu dijana daripada industri logam, pembuatan komponen elektronik dan industri kimia.

Kaohsiung juga telah berjaya menarik pelaburan yang besar daripada sektor swasta Taiwan, terutamanya daripada teknologi maklumat dan komunikasi serta industri berteknologi tinggi, termasuk syarikat-syarikat peneraju industri seperti TSMC, Foxconn, ASE, dan Nvidia.

Diiktiraf kerana kepimpinannya dalam pembangunan rendah karbon dan inovasi bandar pintar, Kaohsiung telah menerima pengiktirafan daripada Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Anugerah Bandar Pintar Asia-Pasifik IDC.

Organisasi global seperti Pertubuhan Bandar Pintar dan Mampan Dunia (WeGO) dan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) telah memuji kemajuan digital di bandar itu dalam bidang pertanian dan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan