BELANJAWAN 2025 > BERITA

RM6 Juta Perkasa Latihan Warga Akademia POLYCC

17/10/2024 06:09 PM

IPOH, 17 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi memperkasakan latihan pembangunan warga akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.2 juta diperuntuk untuk Program Pentauliahan Profesional yang memfokuskan terhadap usaha melahirkan lebih ramai pensyarah pakar di POLYCC.

“Program Pentauliahan Profesional ini memasuki fasa keempat dan kita jangkakan ia akan dilaksanakan bermula 25 Nov ini hingga 27 Feb depan mengikut bidang tertentu.

“Inilah satu daripada inisiatif pihak jabatan untuk memastikan akademia terus dilatih dengan kepakaran bidang tertentu bagi menambah baik pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di POLYCC,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademia POLYCC (AA POLYCC) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan turut dihadiri kira-kira 500 tetamu terdiri daripada warga akademia serta petugas POLYCC seluruh negara.

Mohd Zahari berkata pada masa ini terdapat kira-kira 10,500 akademia berkhidmat di POLYCC dan daripada jumlah itu lebih 45 peratus memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata dengan kekuatan berkenaan, pihaknya percaya misi untuk melahirkan lebih ramai graduan berkualiti khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat direalisasikan.

Mengenai AA POLYCC, Mohd Zahari berkata ia dianjurkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan matlamat memberi pengiktirafan kepada akademia di POLYCC yang telah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang kurikulum, penyelidikan, inovasi dan PdP.

“Pada hari ini, 12 akademia telah dinobatkan Anugerah Ikon Sukarelawan, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Mentor Keusahawanan, Anugerah PdP, Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Anugerah Penerbitan, Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan sebagainya.

“Program ini juga secara tidak langsung menggalakkan akademia di POLYCC untuk terus berusaha dengan bersungguh-sungguh agar TVET dapat terus diperkasa pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan