BELANJAWAN 2025 > BERITA

CEO Cybersecurity Malaysia Terima Anugerah Komuniti Siber ASEAN-Jepun

17/10/2024 06:46 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA 17 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab menerima pengiktirafan daripada Perikatan Komuniti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun (AJCCA) atas komitmen dan sumbangannya dalam mempromosikan keselamatan siber di Malaysia.

Beliau adalah seorang daripada sembilan pemenang Juara Negara yang menerima Anugerah Ketahanan Siber AJCCA (ACRA) yang julung kali diadakan pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura pada Khamis.

Anugerah itu disampaikan oleh pengerusi pengasas AJCCA, Dr Rudi Lamanto.

Amirudin berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap kerja yang dilakukan oleh CyberSecurity Malaysia.

"Saya berbesar hati menjadi penerima pertama Anugerah Ketahanan Siber AJCCA - Juara Negara dari Malaysia hari ini.

"Ini mencerminkan pengiktirafan bukan sahaja kepada saya tetapi juga terhadap peranan dan sumbangan CyberSecurity Malaysia kepada negara, rantau ASEAN dan ekosistem digital dan keselamatan siber Asia-Pasifik," katanya kepada Bernama.

Tambah Amirudin, anugerah itu menyerlahkan kepentingan kerjasama dalam kalangan pemain keselamatan siber, di peringkat domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam negara ASEAN.

AJCCA menyatakan ACRA adalah acara berprestij yang didedikasikan untuk meraikan dan mengiktiraf individu yang mempunyai sumbangan cemerlang kepada keselamatan siber dan daya tahan siber di seluruh Asia, dengan tumpuan khusus kepada Jepun dan negara ASEAN.

"Apabila transformasi digital semakin pantas, keperluan untuk langkah keselamatan siber yang teguh menjadi semakin kritikal. Anugerah ini memberi penghormatan kepada individu yang telah menunjukkan komitmen luar biasa untuk meningkatkan daya tahan siber, memastikan keselamatan dan kestabilan landskap digital kita," kata Lamanto dalam satu kenyataan.

AJCCA ialah inisiatif kerjasama yang dibentuk oleh sembilan komuniti keselamatan siber terkemuka dari negara ASEAN dan Jepun.

Ia didedikasikan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber, menggalakkan perkongsian maklumat dan memupuk sokongan bersama antara negara anggotanya untuk menangani cabaran landskap digital yang semakin berkembang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan