BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, China Bakal Tandatangani Perjanjian Usaha Sama Penerbitan

17/10/2024 06:43 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia dan China dijangka menandatangani perjanjian usaha sama penerbitan selewat-lewatnya hujung tahun ini dalam usaha membuka ruang kerjasama peningkatan kuantiti dan kualiti penerbitan antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata perkembangan terbaharu itu hasil pertemuan dengan pengurusan Pentadbiran Filem China (China Film Adminstration) (CFA) diketuai Pengarah Bahagian Antarabangsa Xu Yang di Beijing, China baru-baru ini.

“Menerusi perjanjian ini produksi dari Malaysia akan dapat faedah dari China dan sebaliknya. Contohnya, syarikat penerbitan China boleh mendapat kemudahan dan insentif di Malaysia seperti Skim Wajib Tayang, syarikat Malaysia pun boleh mendapat insentif atau kemudahan sama di China.

"Filem produksi yang melalui proses usaha sama penerbitan ini juga akan dilihat sebagai filem tempatan bagi kedua-dua negara dan boleh terima proses kelulusan tayangan di pawagam kedua-dua negara dengan lebih mudah," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata pembangunan kemahiran produksi tempatan menerusi perkongsian kepakaran juga bakal diperoleh kedua-dua negara menerusi perjanjian itu. 

Kedua-dua pihak kini di peringkat akhir bagi memuktamadkan perjanjian itu dan perkara ini perlu diselaraskan melalui Peguam Negara kedua-dua negara, memandangkan ia melibatkan perjanjian serta undang-undang.

Andai direalisasikan, ini perjanjian usaha sama penerbitan kedua ditandatangani Malaysia dengan negara luar selepas yang kolaborasi pertama dimeterai dengan Australia pada 2019. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan