BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pegawai Xinjiang Tekankan Kestabilan Dan Pertumbuhan Ekonomi Di Sebalik Kritikan Barat

17/10/2024 07:22 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Seorang pegawai kanan Xinjiang telah memuji kemajuan ekonomi dan sosial wilayah itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berbeza dengan apa yang disifatkannya sebagai maklumat salah berterusan daripada kerajaan Barat.

Timbalan Pengarah Pejabat Penerangan Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang Chen Cheng berkata tiada jenayah kekerasan telah direkodkan sejak 2017, menandakan perubahan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dicemari oleh insiden jenayah.

Chen memetik statistik terkini sebagai bukti transformasi Xinjiang, merujuk kepada peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi, pembangunan budaya dan kestabilan sosial.

“Keadaan di Xinjiang telah bertambah baik dengan ketara. Kami telah mencapai kestabilan dan kemajuan dalam pelbagai sektor, dengan kemakmuran budaya dan keharmonian agama sebagai asas,” katanya pada sesi "Real Xinjiang: From Multiple Perspectives" anjuran forum Kelab Concorde, di sini pada Khamis.

Turut hadir Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ravichandran DJ Paul.

Kelab Concorde yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Wong Chun Wai yang juga berkhidmat sebagai Pengerusi Bernama dan Penasihat Star Media Group, mengadakan perjumpaan bulanan.

Ia adalah kumpulan wartawan tidak rasmi dari media tempatan dan antarabangsa.

Chen menuduh kuasa Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) mengabaikan kemajuan wilayah itu untuk mengekalkan naratif kemiskinan dan penindasan.

“Agenda mereka bukan mengenai hak asasi manusia atau demokrasi tetapi tentang mengekalkan Xinjiang dalam keadaan mundur. Mereka tidak mahu rakyat Xinjiang menjalani kehidupan yang baik.”

Chen menekankan bahawa pelancongan sebagai sektor utama yang memacu pemulihan ekonomi Xinjiang, kini disenaraikan sebagai industri kesembilan terbesar di wilayah itu.

Kerajaan tempatan telah mempromosikan pelancongan bukan sahaja sebagai jambatan budaya tetapi juga sebagai enjin ekonomi, menawarkan manfaat yang besar kepada komuniti luar bandar.

“Untuk setiap yuan pendapatan daripada pelancongan, sektor lain boleh memperoleh lima yuan,” kata Chen, menggambarkan pelancongan sebagai cara penting untuk meningkatkan kekayaan bagi keluarga tempatan, terutamanya petani yang beralih kepada perniagaan berkaitan pelancongan.

Pendapatan pelancongan di Xinjiang mencecah 287.6 bilion yuan dari Januari hingga September, mencatatkan peningkatan sebanyak 23.02 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Chen berkata pertumbuhan itu mencerminkan kejayaan wilayah itu dalam meletakkan dirinya sebagai destinasi pelancongan utama, di mana pelawat boleh mengalami gambaran yang lebih autentik, objektif dan pelbagai mengenai rakyat serta budaya wilayah itu.

“Peradaban diperkaya melalui komunikasi dan menjadi lebih berwarna-warni melalui kepelbagaian. Pelancong yang datang ke Xinjiang dapat melihat realiti yang lebih multidimensi dan berwarna-warni,” tambahnya.

Pegawai itu menolak apa yang disifatkannya sebagai usaha bersepadu oleh "kuasa anti-China Barat" untuk memberi gambaran mengelirukan mengenai Xinjiang, dengan hujah bahawa kritikan dari pihak itu mengabaikan kemajuan ketara yang dicapai di wilayah itu.

“Isu asas yang diperkatakan bukanlah mengenai hak asasi manusia atau demokrasi. Ia adalah mengenai mewujudkan keadaan kemiskinan dan kejahilan di Xinjiang,” katanya.

Chen juga mengambil peluang untuk menjelaskan salah faham semasa forum itu, sambil menekankan bahawa forum seperti Kelab Concorde menawarkan peluang kepada Xinjiang untuk berkongsi kisahnya dengan lebih baik dengan komuniti antarabangsa.

Beliau menekankan kepentingan penglibatan yang telus dengan media asing dan pelawat untuk membetulkan salah faham serta memberikan pandangan yang lebih jelas tentang pembangunan wilayah itu.

Walaupun terdapat kemajuan ketara, Chen mengakui bahawa lebih banyak usaha diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Xinjiang dan menambah baik daya penggerak di sebalik pembangunannya.

Beliau menyeru agar usaha berterusan untuk membentangkan "kisah benar Xinjiang" dan menekankan keperluan untuk lebih banyak pertukaran antarabangsa bagi berkongsi kemajuan wilayah itu secara terbuka.

“Perbincangan hari ini adalah satu jendela untuk anda lebih memahami Xinjiang. Kami mengharapkan lebih banyak peluang seperti ini untuk terus menceritakan kisah kami,” katanya.

Terdahulu, Wong dalam ucapan alu-aluannya melalui video berkata bahawa Kelab Concorde berbesar hati menerima tetamu dari Xinjiang untuk menghadiri sesi itu.

“Kami gembira dan berbesar hati menerima kedatangan anda ke Malaysia untuk berkongsi kisah dan naratif mengenai Xinjiang dalam pelbagai cara.

“Terdapat banyak maklumat salah dan berita palsu mengenai Xinjiang daripada media Barat. Oleh itu, kami amat berbesar hati menerima kedatangan anda ke Kuala Lumpur untuk berkongsi kisah anda dengan kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan