BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inflasi Keseluruhan Malaysia Diunjur 2.0 Peratus Hingga 3.5 Peratus Pada 2025

18/10/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Inflasi keseluruhan Malaysia diunjur antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus pada 2025.

Menurut Kementerian Kewangan, (MoF) inflasi keseluruhan pada 2025 dijangka kekal terkawal berikutan pemulihan dalam bekalan global serta harga komoditi yang menyederhana.

“Bagaimanapun, sebarang perubahan dalam dasar domestik akan memberikan tekanan terhadap kenaikan inflasi,” menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025 yang dikeluarkan hari ini.

MoF berkata pada tahun ini inflasi keseluruhan dijangka kekal terkawal sepanjang tahun dan berada antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus yang menghampiri purata jangka masa panjang sekitar dua peratus.

“Risiko inflasi bergantung kepada tahap kesan rantaian terhadap barangan lain berikutan sebarang pelaksanaan langkah dasar ke atas subsidi dan kawalan harga serta turun naik harga komoditi global,” katanya.

Kementerian itu berkata inflasi keseluruhan yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana dengan purata 1.8 peratus dalam lapan bulan pertama tahun ini iaitu lebih rendah daripada 2.9 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023 berikutan persekitaran kos yang menggalakkan dan permintaan yang stabil.

Prestasi ini terutamanya didorong oleh kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kategori makanan dan minuman (1.8 peratus) serta restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus) walaupun dengan peningkatan dalam perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.9 peratus) yang lebih tinggi berikutan pelarasan caj tarif air dan perkhidmatan pembentungan.

Kumpulan utama lain yang mencatat kenaikan harga melepasi inflasi keseluruhan adalah penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (2.9 peratus) dan kesihatan (2 peratus).

MoF berkata subsidi diesel bersasar yang dilaksanakan pada Jun 2024 tidak memberikan kesan ketara ke atas inflasi berikutan wajaran yang kecil dalam bakul IHP (0.2 peratus) serta tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap aktiviti pencatutan, pengekalan subsidi diesel kepada sektor perniagaan terpilih dan pemberian bantuan tunai bersasar.

Sementera itu, ia berkata Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dijangka menyederhana pada tahun hadapan berikutan aktiviti pengeluaran yang stabil.

IHPR bagi pengeluaran tempatan mencatat 0.9 peratus pada lapan bulan pertama 2024 berbanding penguncupan 2.4 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.

Semua sektor utama mengalami peningkatan yang diterajui oleh bekalan air (6.4 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (3.8 peratus) dan perlombongan (3.3 peratus).

Di samping itu, pertumbuhan sederhana direkodkan dalam sektor bekalan elektrik dan gas (0.5 peratus) dan pembuatan (0.4 peratus).

Pada peringkat pemprosesan, IHPR bagi bahan mentah untuk diproses selanjutnya mencatat peningkatan sebanyak 3.4 peratus dan 2.3 peratus bagi barang siap.

Secara keseluruhan, MoF berkata IHPR dijangka stabil sepanjang tahun ini berikutan kestabilan harga komoditi dan permintaan yang mampan merentasi sektor-sektor utama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan