BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pasaran Buruh Negara Dijangka Kekal Stabil Pada 2025 

18/10/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pasaran buruh Malaysia diunjur kekal stabil pada 2025, didorong oleh prospek pertumbuhan ekonomi domestik dan perdagangan luar yang lebih baik.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, kadar pengangguran dijangka menurun kepada 3.1 peratus pada 2025, manakala jumlah guna tenaga diunjurkan berkembang sebanyak 2.1 peratus kepada 16.6 juta orang.

“Lebih 80 peratus peluang pekerjaan akan tertumpu dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan strategi kerajaan untuk menangani isu struktural dalam pasaran buruh khususnya berkaitan gaji dan produktiviti dijangka meningkatkan kecekapan perniagaan serta merangsang permintaan buruh.

Di samping itu, jumlah pekerja asing berkemahiran rendah dijangka kekal sekitar 2.5 juta orang untuk memenuhi keperluan industri berintensif buruh, namun kerajaan akan terus memantau penggajian baharu dalam kategori itu agar selaras dengan had 15 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan.

Laporan itu menyatakan pelaksanaan sistem levi pelbagai peringkat serta penerimagunaan automasi dan teknologi termaju dijangka menyokong dasar mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Bagaimanapun, pengambilan ekspatriat dijangka meningkat secara marginal bagi memenuhi permintaan bakat mahir dalam pekerjaan kritikal.

Bagi memudahkan proses kemasukan bakat mahir, kerajaan akan memperkenalkan laluan hijau bagi permohonan Pas Penggajian kategori tertinggi untuk menyokong pertumbuhan industri strategik seperti dinyatakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Laporan itu turut menyatakan bahawa produktiviti buruh diunjur meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM101,700 pada 2025, dipacu oleh penerimagunaan teknologi termaju, digitalisasi dan amalan pengurusan moden secara meluas untuk meningkatkan rantaian nilai dalam kalangan perusahaan khususnya dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Sementara itu, memperinci kedudukan pasaran buruh pada 2004, laporan tersebut menyatakan sektor itu menunjukkan peningkatan yang konsisten pada separuh pertama tahun ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat dengan ketara kepada 70.5 peratus.

Pertumbuhan jumlah guna tenaga sebanyak 3.9 peratus kepada 16.2 juta orang berbanding peningkatan tenaga buruh 3.5 peratus kepada 16.8 juta orang, telah menyumbang kepada penurunan ketara kadar pengangguran kepada 3.2 peratus atau 534,500 orang.

“Jumlah pemberhentian pekerja yang kekal rendah iaitu 25,796 orang pada akhir Jun, manakala lebih 748,900 jawatan dengan lebih 50 peratus merupakan pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

“Setakat akhir Ogos 2024, bilangan pekerja asing berkemahiran rendah meningkat sebanyak 41.1 peratus kepada kira-kira 2.5 juta orang, berbanding 1.8 juta orang bagi tempoh sama pada 2023, dengan majoriti berasal dari Bangladesh iaitu 37.8 peratus, Indonesia (23.7 peratus), dan Nepal (16.7 peratus),” menurut laporan itu.

Pekerja asing berkemahiran rendah kini mencatat 14.8 peratus daripada jumlah guna tenaga iaitu menghampiri had 15 peratus yang dibenarkan.

Selain itu, bilangan ekspatriat juga meningkat 6.3 peratus kepada 113,493 orang pada akhir Ogos 2024, dengan majoriti berasal dari China (24.1 peratus), India (18.3 peratus), dan Filipina (8 peratus) yang majoritinya bekerja dalam sektor teknologi maklumat (38.7 peratus), perkhidmatan (26.8 peratus) serta pembinaan (10.5 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan