BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Untuk BHEUU Dinaikkan Kepada RM209 Juta

20/10/2024 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peruntukan untuk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dinaikkan kepada RM209 juta berbanding RM194 juta tahun ini, selaras dengan komitmen reformasi perundangan dan institusi yang diusahakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 hari ini berkata kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.  

Beliau berkata lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula.

Selain itu, beliau berkata pimpinan MADANI akan terus memelihara kebebasan Parlimen dengan meningkatkan peruntukan kepada RM180 juta untuk institusi itu berbanding RM166 juta tahun ini.

Menurut Anwar sebahagian peruntukan itu adalah untuk memperkasakan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang. 

Perdana Menteri berkata sejumlah RM20 juta disediakan untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia yang merentasi kawasan parlimen dan parti politik.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna selain menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’.

Tambahnya peranan institusi kehakiman sebagai badan bebas terus diperkasakan dengan lebih RM60 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan