BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perancis Kesal Parlimen Israel Lulus Undang-undang Larang Operasi UNRWA

30/10/2024 08:16 PM

PARIS, 30 Okt (Bernama-WAFA) -- Perancis pada Selasa meluahkan kekesalan  atas keputusan Parlimen Israel meluluskan dua rang undang-undang yang melarang Agensi Bantuan dan Kerja  Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) dengan memetik Kementerian Luar Perancis.

"Pelaksanaan undang-undang ini akan membawa kesan serius terhadap situasi kemanusiaan yang sudah pun serius di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang diduduki, dengan menafikan ratusan ribu orang awam daripada menerima bantuan penting seperti tempat tinggal, penjagaan kesihatan, pendidikan dan makanan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Selama lebih 70 tahun, UNRWA telah memainkan peranan penting dan tidak boleh digantikan dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza, serta di negara-negara yang menerima mereka – Lubnan, Jordan dan Syria," katanya.

Perancis mengulangi sokongannya kepada UNRWA, berjanji akan "terus memastikan pelaksanaan pembaharuan yang diperlukan untuk menjamin keberkecualiannya, khususnya saranan dalam Laporan Colonna.

"Kami juga mengulangi sokongan kami kepada semua agensi PBB yang bekerja di lapangan untuk membantu penduduk Palestin," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan