BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kenaikan Nilai Ambang WPL Bantu Syarikat Rancang Pelaburan - MPOB

19/10/2024 09:47 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kenaikan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) memberikan ruang kepada syarikat perladangan untuk beroperasi dengan lebih efisien, terutamanya dalam berdepan pasaran minyak sayuran global yang kompetitif.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kenaikan nilai ambang WPL ini akan membolehkan syarikat merancang pelaburan dengan memberi tumpuan kepada inisiatif yang bersifat jangka panjang.

"Ini termasuk pelaburan strategik dalam penanaman semula pokok sawit tua yang kian meningkat jumlah keluasan yang seterusnya mampu meningkatkan produktiviti hasil ladang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan nilai ambang levi WPL semasa daripada RM3,000 kepada RM3,150 satu tan bagi Semenanjung dan RM3,500 kepada RM3,650 satu tan bagi Sabah dan Sarawak yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 merupakan langkah positif oleh kerajaan dalam menyokong sektor sawit.

"Walaupun kenaikannya adalah sederhana, ia merupakan usaha awal yang dapat mengurangkan tekanan kenaikan kos pengeluaran minyak sawit,” katanya.

Manakala peruntukan RM100 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 orang pekebun kecil melibatkan kawasan seluas 5,900 hektar.

Ahmad Parveez berkata pelaksanaan insentif tanam semula menggalakkan pekebun kecil untuk menanam semula pokok sawit tua yang kurang produktif, sekali gus meningkatkan hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.

"Langkah ini akan memperkukuh sektor sawit negara dan kestabilan ekonomi pekebun kecil dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu beliau berkata pengumuman peruntukan sebanyak RM65 juta untuk menangkis salah tanggapan mengenai minyak sawit di peringkat antarabangsa, khususnya dari Kesatuan Eropah, merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan pasaran minyak sawit Malaysia.

"lnisiatif ini bukan sahaja membantu mempergiatkan kempen anti minyak sawit malahan memperbetul salah tanggapan mengenai minyak sawit. Inisiatif ini juga meliputi usaha meningkatkan kelestarian sektor sawit melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.

Pensijilan MSPO amat penting dalam meningkatkan reputasi minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa kerana ia membuktikan komitmen negara dalam memastikan industri sawit mengamalkan amalan mampan yang sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Dalam konteks ini, katanya, MPOB melihat keperluan peruntukan tersebut digunakan untuk memperkasa pekebun kecil persendirian melalui Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC).

Melalui pendekatan SPOC, pekebun kecil mendapat sokongan khidmat nasihat MPOB dalam amalan lestari yang selaras dengan prinsip kemampanan memandangkan mereka memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan minyak sawit Malaysia, katanya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan menyediakan galakan cukai automasi serta menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dapat menarik minat pekerja tempatan berkecimpung dalam kerjaya di sektor perladangan.

Galakan cukai ini akan menggalakkan syarikat perladangan sawit menggunakan teknologi moden seperti dron dan kecerdasan buatan (AI) yang mampu meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kenaikan gaji minimum adalah langkah positif yang akan meningkatkan pendapatan pekerja yang terlibat dalam rantaian industri sawit. Pengenalan automasi dan gaji yang lebih kompetitif berupaya memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan