BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: MCA Rakam Penghargaan, Sedia Tingkatkan Pembangunan Kriket Di Malaysia

19/10/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Persatuan Kriket Malaysia (MCA) amat menghargai komitmen kerajaan MADANI dalam pembangunan sukan kriket apabila menyediakan peruntukan RM1 juta dalam Belanjawan 2025.

Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berkata sokongan ini merupakan titik perubahan dalam meningkatkan usaha pembangunan sukan kriket di setiap pelosok negara, pada masa sama memberi inspirasi kepada bakat baharu untuk meletakkan Malaysia dalam peta kriket dunia.

“Bagi pihak komuniti kriket di Malaysia, pemain, dan Jawatankuasa Eksekutif, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI atas sokongan yang tidak ternilai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah edisi kedua Piala Dunia T20 Wanita Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Kriket Antarabangsa (ICC) pada 18 Jan hingga 2 Feb tahun depan.

Dalam saingan itu, Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama kuasa besar India, Sri Lanka dan Hindia Barat.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, Anwar berkata kerajaan terus memperhebat pembangunan sukan negara dengan penyaluran peruntukan lebih RM230 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket berikutan sambutan hangat ketika berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan