BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pahang Tumpu Tarik Ramai Peserta Industri Pusat Data

19/10/2024 08:30 PM

KUANTAN, 19 Okt (Bernama) -- Pahang bercadang mengikut langkah Kuala Lumpur dan Johor yang memberi fokus menarik ramai peserta daripada industri pusat data untuk melabur ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib berkata hal ini kerana industri itu dilihat mempunyai potensi tinggi dan Pahang seharusnya tidak ketinggalan merebut peluang sektor terbabit bagi memacu ekonomi negeri. 

“Kita (Kerajaan Pahang) akan lihat beberapa cadangan pelaburan daripada syarikat pusat data tetapi penglibatan kerajaan Pahang mungkin tidak setinggi di Lembah Klang dan Johor yang memiliki antara 40 hingga 50 pusat bagi setiap negeri.

"Ia disebabkan kita tidak mahu bekalan air dan elektrik untuk kegunaan rakyat terjejas kerana difahamkan, pusat data ini banyak menggunakan dua tenaga itu selain keperluan mempunyai jalur gentian optik yang baik," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuantan dan Pahang Teknologi Revolusi Expo (TReX) 2024 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Perkhidmatan Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Amiruddin Abdul Shukor.

Bagaimanapun, Mohamad Nizar berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang dilihat berupaya memenuhi syarat pembangunan pusat data di negeri ini antaranya di kawasan Kuantan, Gambang serta Bentong.

"Pembangunan pusat data ini perlu seimbang iaitu dengan jaminan rakyat masih mendapat kemudahan asas yang ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta MDEC membantu kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pekerja nomad digital memilih Pahang bagi menjalankan tugasan mereka.

Beliau berkata Pahang mempunyai pelbagai lokasi menarik yang boleh dikunjungi pekerja nomad digital seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser mahupun Janda Baik di Bentong yang secara tidak langsung membantu ke arah pemacuan ekonomi negeri. 

"Sama ada individu itu pekerja nomad digital, usahawan digital, vlogger, TikTokers atau YouTuber,  mereka ini boleh bergerak dan buat kerja dari jarak jauh,” katanya. 

Sementara itu, Amiruddin berkata pihaknya sedia membantu kerajaan Pahang membawa masuk pelaburan industri pusat data kerana ia antara satu skop di bawah agensi berkenaan.

"Apabila terkait pelaburan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang akan ke hadapan tetapi pihak MDEC perlu bantu kerana ia melibatkan aktiviti dan ekosistem kami. Kerjasama sudah dijayakan antaranya ialah pusat data hijau di Sedenak, Johor dan terbaharu, kita diminta oleh Premier Sarawak (Abang Johari Tun Openg) untuk membantu membangunkan pusat data di sana," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan