BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perak Terima Lebih RM1 Juta Untuk Komuniti MADANI

20/10/2024 12:48 AM

IPOH, 19 Okt (Bernama) -- Perak menerima peruntukan berjumlah RM1.06 juta daripada Kementerian Komunikasi untuk menggerakkan Komuniti MADANI tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi Helmi.

Beliau berkata peruntukan berkenaan disediakan bagi 177 Komuniti MADANI merangkumi 59 kawasan Dewan Undangan Negeri.

"Peruntukan itu meliputi pemberian geran pentadbiran sebanyak RM3,000 kepada setiap komuniti iaitu  Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI diperuntuk RM2,000 bagi setiap komuniti manakala RM1,000 bagi program peringkat Parlimen.

"Difahamkan setakat 9 Okt 2024, peruntukan telah dibelanjakan dengan pencapaian pelaksanaan program sebanyak 96 peratus," katanya ketika berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Komuniti MADANI peringkat Perak di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Mohd Azlan Helmi berkata Komuniti MADANI merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang ditubuhkan bagi memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan bagi merealisasikan konsep Malaysia MADANI. 

"Kita sedia maklum bahawa Komuniti MADANI merupakan satu daripada platform penting untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar serta inisiatif dilaksanakan kerajaan supaya sampai kepada rakyat secara berterusan.

"Selain itu, Komuniti MADANI adalah jentera komunikasi yang sangat penting bukan sahaja dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, tetapi juga mendapat maklum balas rakyat di peringkat akar umbi seperti keperluan pembangunan untuk disampaikan pula kepada pihak kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan