BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

BBC Sifatkan Belanjawan 2025 Berhemah, Menyeluruh - Mohd Shahar

19/10/2024 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menyifatkan Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam sebagai berhemah dan menyeluruh, merangkumi empat pemfaktoran utama.

Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata faktor-faktor tersebut menyentuh aspek kehendak, keperluan, kemampuan, dan keadaan negara.

“Kita mesti memahami keperluan rakyat, peniaga dan penduduk luar bandar tetapi dalam masa yang sama perlu mengimbangi kehendak kerajaan, agensi dan penarafan antarabangsa termasuk keadaan geopolitik negara dalam menghadapi perubahan iklim.

Saya nampak empat pemfaktoran itu dinyatakan dan diterjemahkan dalam Belanjawan 2025, Ekonomi MADANI, memperkasakan rakyat. Kompleksiti yang kita hadapi adalah bagaimana untuk memenuhi kehendak dan keperluan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar memuji keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

“Sebelum ini, saya menghantar usul persendirian kepada Dewan Rakyat bagi mengkaji kadar kenaikan gaji. Keadaan semasa ini memerlukan semakan semula supaya jurang antara mereka yang bekerja di bawah dan atasan dapat dikecilkan.

“Kini, jika dibandingkan kerja bawahan dengan eksekutif atasan, pampasan pekerja adalah sebanyak 20 kali ganda manakala untuk eksekutif junior adalah 10 kali ganda,” katanya.

Mengenai penyasaran subsidi, beliau bersetuju agar penyasaran itu dilakukan supaya pihak yang memerlukan dapat menikmati manfaat daripadanya.

“Saya setuju agar penyasaran itu dilakukan kerana tahun ini sahaja, kerajaan membayar khidmat hutang hampir RM50 bilion dan tahun depan dijangka meningkat kepada RM54.7 bilion. Jika tidak dilakukan penyasaran itu, bagaimana kita nak tanggung belanjawan tahun depan? Ini dapat memberi ruang untuk membangunkan negara,” katanya.

Belanjawan 2025 Malaysia MADANI Ketiga terus merekod sejarah sebagai dokumen belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM421 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan