BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perak FC Tumpas Kepada Sabah 4-2 Pada Aksi Sulung Di Manjung

19/10/2024 11:36 PM

MANJUNG, 19 Okt (Bernama) --Perak FC gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan sulung mereka di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) apabila tewas 2-4 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super, petang tadi.

Namun, skuad bimbingan Yusri Che Lah berjaya menceriakan kira-kira 2,000 penyokong setia apabila mendahului menerusi sepakan penalti kapten pasukan Luciano Guaycochea pada minit ke-30, selepas beliau dikasari di hadapan gawang Sabah.

Kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan Sabah Ko Kwang Min menyamakan kedudukan pada minit ke-39 dengan rembatan padu.

Selang lima kinit kemudian, Sabah FC mendahului hasil jaringan pemain kebangsaan Stuart Wilkin yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Perak FC Muhammad Haziq Nadzli.

Bersambung babak kedua, Perak FC tampil lebih agresif, menguasai perlawanan di awal separuh masa dengan hasilnya menyaksikan Clayton Da Silveira menanduk masuk gol kedua menerusi sepakan penjuru Guaycochea pada minit ke-49.

Walau bagaimanapun, Sabah FC kembali di hadapan pada minit ke-83 apabila Joao Pedro memanfaatkan hantaran cantik daripada Gabriel Schmegel untuk menjaringkan gol ketiga.

Lima minit kemudian Miguel Angel Garrido menambah derita Perak FC dengan jaringan keempat, sekali gus memastikan kemenangan pasukan pelawat.

Dalam pada itu, Yusri tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas gagal meraih sebarang mata, apatah lagi selepas pasukan mencatat tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

"Kami harus menyalahkan diri sendiri selepas membolosi dua gol pada separuh masa pertama. Setiap kali berdepan sepakan penjuru atau lontaran jauh, kami terlalu tertekan," kata Yusri.

Beliau turut mengakui Sabah FC bijak mengambil kesempatan atas kesilapan pasukannya dan menguasai bola dengan baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan