BELANJAWAN 2025 > BERITA

190 Tawanan Dibebaskan Susulan Usaha Perantaraan Kesembilan UAE Antara Rusia, Ukraine

20/10/2024 01:44 PM

ABU DHABI, 20 Okt (Bernama-WAM) -- Pertukaran tawanan baharu antara Rusia dan Ukraine menyaksikan pembebasan seramai 190 tawanan, menjadikan jumlah keseluruhan pertukaran menerusi usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada 2,184 orang, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Kementerian Luar Emiriah menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua negara atas kerjasama dan kesediaan mereka terhadap usaha perantaraan UAE, yang menyumbang kepada kejayaan pertukaran tawanan  walaupun terdapat cabaran yang ditimbulkan oleh perang yang sedang berlangsung.

Kejayaan usaha perantaraan ini mencerminkan kepercayaan Rusia dan Ukraine terhadap UAE serta penghargaan mereka terhadap peranan negara itu dalam menyokong laluan diplomatik untuk menyelesaikan krisis semasa antara kedua-dua negara.

Kementerian menegaskan bahawa kejayaan perantaraan terkini, yang merupakan perantaraan kesembilan sejak awal 2024, menunjukkan hubungan kerjasama dan persahabatan antara UAE dan kedua-dua negara.

Kementerian juga mengesahkan komitmen UAE untuk meneruskan segala usaha yang bertujuan mencari penyelesaian aman kepada konflik di Ukraine, dengan menekankan kepentingan dialog dan usaha meredakan ketegangan.

UAE turut berhasrat untuk menyokong semua inisiatif bagi mengurangkan kesan kemanusiaan akibat krisis terbabit, termasuk yang melibatkan pelarian dan tawanan.

Sejak awal tahun ini, UAE berjaya menjadi pengantara bagi lapan pertukaran tawanan perang antara Rusia dan Ukraine, di samping satu pertukaran tawanan antara Amerika Syarikat dan Rusia pada Disember 2022.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan