BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inisiatif Belanjawan 2025 Mengenai AI, Sistem Pemantauan Digital Dapat Tingkatkan Kecekapan Pengangkutan - Pakar

20/10/2024 07:15 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Inisiatif utama dalam Belanjawan 2025 yang memberi tumpuan kepada penyepaduan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan digital dapat meningkatkan infrastruktur pengangkutan dan kecekapannya, kata pakar.

Profesor Madya Dr Rohafiz Sabar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia berkata belanjawan itu memperkenalkan pembangunan ekosistem pengangkutan dan logistik pintar menggunakan teknologi termaju. 

“Ini termasuk penggunaan AI dan sistem pemantauan digital untuk mengesan kerosakan jalan dengan lebih cepat, membolehkan penyelenggaraan yang lebih cekap, mengurangkan masa pembaikan dan memastikan perkhidmatan pengangkutan yang lancar.

“Penggunaan teknologi sedemikian dijangka mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keberkesanan kecekapan infrastruktur,” katanya kepada Bernama.

Rohafiz berkata kerajaan menawarkan 60 peratus insentif pelaburan cukai selama lima tahun kepada syarikat yang mengguna pakai teknologi IR4.0 untuk menyokong industri logistik.

“Automasi dan sistem pintar dalam operasi logistik dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Langkah ini dijangka mengubah landskap logistik di Malaysia, menjadikannya lebih berdaya saing dan sejajar dengan kemajuan teknologi global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) dan Profesor Madya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Wan Mazlina Wan Mohamed mengalu-alukan menaik taraf 100 perhentian bas di Lembah Klang melalui kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti swasta.

“Saya menyokong inisiatif ini tetapi penting untuk memastikan hubungan ke dan dari perhentian bas ini, dipercayai.

“Ini bermakna menyediakan infrastruktur seperti tempat letak basikal, kawasan untuk peranti mikromobiliti (seperti e-skuter) dan laluan pejalan kaki yang selamat dilengkapi dengan maklumat pemantauan pada masa nyata mengenai perkhidmatan bas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan