BELANJAWAN 2025 > BERITA

NIMP 2030 Berhasil Tingkatkan KDNK, Peluang Pekerjaan & Gaji Median Selepas Setahun Dilancarkan - Tengku Zafrul

21/10/2024 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yakin sasaran utama yang ditetapkan bagi tahun pertama Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dapat dicapai memandangkan tiga daripadanya telah merekodkan pencapaian memberangsangkan, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berlandaskan NIMP 2030 yang dilancarkan pada 1 Sept, 2023, nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.7 peratus iaitu sebanyak RM4.2 bilion dan angka pekerjaan meningkat 0.9 peratus atau 200,000 pekerja setakat suku kedua 2024 berbanding suku yang sama 2023.

Gaji median bagi sektor perkilangan turut meningkat 8.2 peratus atau sebanyak RM201 setakat suku pertama 2024 tahun ke tahun, katanya.

“Hampir semua petunjuk prestasi utama (KPI) telah mencapai sasaran untuk 2024. Masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan kita masih ada lagi lima tahun tetapi masa pun semakin singkat dan ekonomi pun semakin mencabar,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Kad Laporan MITI bagi suku ketiga 2024 di sini, pada Isnin.

Mengikut NIMP 2030, MITI menyasarkan nilai tambah sektor pembuatan sebanyak RM587.5 bilion, pewujudan 3.3 juta peluang pekerjaan dan peningkatan gaji median kepada RM4,510 menjelang 2030.

Tengku Zafrul berkata di bawah Misi 1 (Kerumitan Ekonomi), MITI mencapai beberapa kemajuan yang boleh dibanggakan dari segi usaha memperkukuh kedudukan dalam industri semikonduktor global menerusi dua pelan tindakan utama iaitu penciptaan juara reka bentuk litar bersepadu (IC) global dari Malaysia dan menarik syarikat global untuk mewujudkan kemudahan fabrikasi wafer.

Setakat suku ketiga, sebanyak 500 jurutera dan 557 pekerja teknikal dilatih bagi memperkukuh kepakaran teknikal negara dalam reka bentuk IC dan pengeluaran semikonduktor.

“Sejumlah 4,673 orang telah diambil bekerja, dengan 1,130 daripadanya ialah jurutera atau pakar teknikal. Pekerja teknikal membentuk 97 peratus daripada keseluruhan pengambilan, yang bermaksud kumpulan bakat teknikal juga telah meningkat.

“Inisiatif ini juga menarik pelaburan yang besar sebanyak RM35.6 bilion, terdiri daripada RM 0.97 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dan RM34 bilion dalam pelaburan langsung asing (FI),” katanya.

Beliau berkata penubuhan tiga syarikat reka bentuk IC tempatan Malaysia juga menandakan satu langkah penting ke arah membina keupayaan Malaysia dalam industri penting itu.

Di bawah Misi 1 Industri Kimia, MITI menarik pelaburan berjumlah RM3.1 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM1.7 bilion pada 2023, dengan kenaikan lebih 82 peratus menerusi inisiatif Pelan Hala Tuju Industri Kimia (CIR) 2030, katanya.

Beliau berkata sektor kimia juga menyumbang RM55.3 bilion kepada eksport Januari hingga September, dengan kadar pertumbuhan 4.3 peratus.

“Ini hasilnya apabila kita betul-betul fokus kepada sektor tumpuan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul turut berpuas hati dengan prestasi di bawah Misi 2, iaitu transformasi digital negara untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) bermula dengan pengenalan Program Industry4WRD seperti Program Dana Intervensi pada 2018.

“Di bawah NIMP 2030, satu inisiatif penambahbaikan baharu telah diperkenalkan -- dipanggil Program “Smart Technology Uptake” (atau Smart Tech Up) akan dilancarkan pada suku keempat 2024 -- dengan matlamat utama untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

"Model teknologi baharu “Smart Tech Up” ini akan menggantikan Penilaian Kesediaan Industri4WD kami yang dahulu,” katanya.

Beliau berkata daripada 406 syarikat yang diluluskan melalui Program Dana Intervensi untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0, majoritinya berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi definisi kilang pintar yang ditetapkan dalam Program “Smart Tech Up”.

Di bawah Misi 2 NIMP yang menumpukan kepada pelaburan digital, trend turut menunjukkan peningkatan dengan lebih 64,000 peluang pekerjaan daripada RM185 bilion pelaburan yang diluluskan dari 2021 hingga suku kedua 2024, katanya.

Menteri berkata Misi 3 yang merangkumi sasaran karbon sifar juga berjalan lancar.

“Insya-Allah, perancangan Perodua untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya secara komersial menjelang suku keempat 2025 juga berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata Kerangka Polisi Ekonomi Kitaran (CEPF) juga telah dilancarkan pada 26 Sept lepas untuk mendorong proses pembuatan yang lebih cekap sumber ke arah pengurangan bahan buangan.

“Untuk menangani pelepasan (karbon) tinggi bagi sektor yang sukar menghentikannya, MITI telah menyelesaikan kerja asas prakebolehlaksanaan untuk dua projek rintis dalam sektor keluli dan simen.

Bagi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), kerja asas prakebolehlaksanaan telah selesai dengan kajian sebenar akan bermula pada suku keempat tahun ini, katanya.

Beliau berkata pada masa sama pencapaian penggunaan EV kereta penumpang dan motosikal turut terus berkembang pada 2024.

Tengku Zafrul berkata program rebat MARiiCAS yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 merekodkan hampir 5,000 permohonan bernilai hampir RM12 juta dan 3,171 stesen pengecas telah diwujudkan di seluruh negara setakat 30 Sept,,2024.

Sehingga 30 Jun, 2024, terdapat lebih 31,000 kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) di jalan raya, termasuk 3,550 motosikal, 153 bas dan 364 kenderaan komersial, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan