BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mesyuarat Tahunan Bank Dunia Dan IMF Bermula Di Washington

21/10/2024 04:29 PM

WASHINGTON, 21 Okt (Bernama-dpa) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia akan memulakan mesyuarat tahunan mereka pada Isnin di ibu negara Amerika Syarikat, Washington.

Mesyuarat itu menghimpunkan menteri kewangan, wakil sektor kewangan dan kerjasama pembangunan, serta bank pusat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Perbincangan yang dijadualkan berlangsung sehingga Ahad dijangka menumpukan isu seperti krisis hutang yang semakin ketara di negara berpendapatan rendah, perubahan iklim, dan pengurangan kemiskinan.

Sebagai sebahagian daripada mesyuarat itu, IMF turut merancang untuk membentangkan ramalan baharu mengenai pertumbuhan ekonomi global pada Selasa.

Ketua IMF Kristalina Georgieva berkata minggu lalu bahawa prospek ekonomi dunia dalam jangka masa sederhana adalah "kurang memberangsangkan - tidak banyak merosot berbanding sebelum pandemik, tetapi masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Peserta dari Jerman yang akan menyertai mesyuarat ialah Menteri Kewangan Christian Lindner dan Presiden Bundesbank Joachim Nagel.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan