BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bernama Terima Anugerah Media Penulisan Cakna Alam Sekitar HASN

21/10/2024 11:43 PM

LANGKAWI, 21 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima Anugerah Media Penulisan Cakna Alam Sekitar sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 peringkat kebangsaan, di sini malam ini.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf keterlibatan agensi berita tersebut dalam membuat liputan berhubung isu alam sekitar menerusi semua platform dalam talian dan media cetak.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berangkat menyempurnakan majlis dan berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Ketua Biro Bernama Kedah Rhoma Ahmad Razali mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.

Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff turut berangkat ke majlis ke berkenaan.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.

Tengku Sarafudin turut mengurniakan Anugerah Langkawi-Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) kepada tiga penerima iaitu Tenaga Nasional Bhd bagi kategori organisasi, Pengetua Sekolah Menengah St. Micheal, Penampang, Sabah Jennifer Asing (kategori individu) dan Majlis Daerah Beaufort (kategori Penghargaan Khas Panel Anugerah Langkawi).

Masing-masing menerima sijil, plak dan wang tunai berjumah RM50,000.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapannya berkata sambutan HASN kali ini ibarat sirih pulang ke gagang susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Oktober 1989.

Beliau berkata sambutan tahun ini masih mengekalkan tema ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ yang mencerminkan peranan semua pihak dalam memastikan alam sekitar terpelihara.

Nik Nazmi berkata ALKAS merupakan anugerah tertinggi negara kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan besar dan signifikan ke arah kelestarian alam sekitar.

“Anugerah ini juga tercetus daripada Deklarasi Langkawi yang telah ditandatangani oleh Ketua-Ketua Negara Komanwel pada tahun 1989. Penganugerahan ALKAS turut mendapat pengiktirafan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan