BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025 Untuk Semua, Tidak Bezakan Komuniti - Ramanan

22/10/2024 12:26 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat adalah belanjawan untuk semua lapisan masyarakat, tanpa membezakan mana-mana komuniti, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau seterusnya menyelar kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa jumlah peruntukan RM130 juta bagi masyarakat India dalam Belanjawan 2025 seolah-olah meminggirkan komuniti itu.

“Bagi komuniti India, sudah banyak kali Perdana Menteri sudah cakap, tak nak pecah-pecahkan (peruntukan mengikut komuniti)… (sesetengah pihak) dia cakap RM130 juta saja bagi komuniti India, adakah ini bermaksud peruntukan yang disediakan untuk kesihatan bukan untuk komuniti India? (kaum) India tak dapat?

“Adakah itu maksud dia? RM64 bilion untuk Kementerian Pendidikan, adakah pendidikan itu khas untuk sekolah kebangsaan atau sekolah Cina? Tidak, (peruntukan) itu untuk semua (komuniti),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i di sini hari ini.

Justeru beliau mengingatkan komuniti India agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Ramanan berkata pihak terbabit sepatutnya tidak memutar belit dan merendah-rendahkan pengumuman yang dibuat pada Belanjawan 2025, sebaliknya perlu meneliti perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Baru-baru ini media melaporkan seorang pemimpin parti pembangkang mempersoalkan sama ada peruntukan RM130 juga kepada komuniti India yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 mampu memperkasa dan membantu meningkatkan sosio ekonomi kaum India.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan