BELANJAWAN 2025 > BERITA

Teliti Semula Pengelasan Pendapatan Isi Rumah Bagi Elak Keciciran Subsidi Petrol

21/10/2024 06:51 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan dan subsidi petrol, kata Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) hari ini.

Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata terdapat kemungkinan berlakunya keciciran dan kekeliruan jika masih berlandaskan kepada penggunaan model kelas pendapatan yang lama.

"Saya memohon agar kerajaan tidak mengambil pendekatan pengelasan pendapatan isi rumah mengikut model lama kerana ia akan menyebabkan keciciran kepada mereka yang sepatutnya menerima bantuan (dan) subsidi petrol. 

"Mereka akan terasing daripada menerima subsidi ini," katanya kepada Bernama di Dewan Rakyat hari ini. 

Mohd Shahar berkata demikian ketika ditanya mengenai kegusaran rakyat terhadap definisi kategori isi rumah T15 yang tidak akan menerima manfaat subsidi petrol pada tahun hadapan.

Jelasnya lagi, keluh kesah rakyat mengenai pengelasan pendapatan isi rumah T15 yang disuarakan di semua platform khususnya di media sosial turut akan diberi perhatian dengan membawa suara mereka melalui wakil rakyat bagi dibahaskan di Parlimen.

Mengulas lanjut mengenai kaedah pelaksanaanya kelak, Mohd Shahar berkata pelbagai sumber daripada medium tempatan seperti kajian yang dibuat oleh institut pengajian tinggi (IPT) juga boleh dijadikan sebagai garis panduan selain melihat kepada indeks kemiskinan multidimensi untuk diteliti.

"Kemiskinan Multidimensi juga perlu diambil kira kerana kita tidak hanya boleh berasaskan kepada gaji, tetapi tanggungan juga perlu diambil kira kerana jangan ada yang tercicir daripada bantuan kerajaan.

“Niat adalah baik untuk bagi (subsidi) pada mereka yang layak berasaskan keadaan sosial, tetapi pelaksanaan itu yang perlu kita bincang dan perhalusi supaya mereka yang layak dapat bantuan subsidi dan bantuan sosial," katanya

Beliau menambah pengagihan ekonomi yang saksama juga perlu diambil kira bagi merapatkan jurang ekonomi rakyat Malaysia.

"Isu sekarang ini ada pertikaian mengenai data ekonomi yang cukup cantik (seperti) dari segi inflasi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan hutang negara tetapi ia tidak sama dengan realiti sebab pembahagian kekayaan itu menjadi pertikaian.

"Banyak kajian menunjukkan pekerja bawahan mendapat pampasan yang kecil berbanding kumpulan pengurusan tertinggi. Itu sebabnya Ekonomi MADANI hendaklah menyebarkan pengagihan ekonomi di kesemua tempat dengan cukai yang dikenakan,” kata Mohd Shahar.

Pada Ahad, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pengelasan kategori T15, yang tidak akan menerima manfaat subsidi pada tahun depan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi dilakukan dengan lebih adil.

“Saya boleh sahkan bahawa ia (kaedah pengelasan baharu) bukanlah menggunakan pendapatan isi rumah kasar semata-mata. Proses untuk kita menambah baik berdasarkan pendapatan isi rumah bersih sedang berjalan.

“Ia akan mengambil kira banyak faktor-faktor lain juga. Sebaik kita putuskan perkara itu, baru kita boleh tetapkan garis stastistik (kumpulan populasi) seperti B40 dan T15,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan