RABAT, 23 Okt (Bernama-MAP) -- Ecuador pada Selasa mengumumkan keputusannya untuk menggantung pengiktirafan terhadap entiti yang dikenali sebagai Republik Demokratik Arab Sahrawi (SADR), lapor agensi berita rasmi Maghribi, Maghreb Arabe Press (MAP).
Ecuador pada awalnya mengiktiraf SADR pada 1983, dengan pembukaan kedutaan pada 2009.
Menteri Luar Ecuador Gabriela Sommerfeld menyampaikan keputusan itu kepada rakan sejawatannya dari Maghribi Nasser Bourita menerusi panggilan telefon.
Beliau turut mengesahkan bahawa pemberitahuan rasmi telah dihantar kepada wakil pemisah di Quito.
Keputusan itu selaras dengan momentum yang digerakkan oleh Raja Mohammed VI sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bertujuan untuk mengesahkan kedaulatan Maghribi ke atas Sahara dan mempromosikan Pelan Autonomi sebagai asas tunggal untuk menyelesaikan pertikaian serantau ini.
Keputusan Ecuador untuk menggantung pengiktirafan terhadap "SADR" menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan antara Maghribi dan negara Amerika Latin itu.
SADR ialah sebuah negara yang diisytiharkan sendiri oleh Barisan Polisario pada 1976, bertujuan untuk mewakili penduduk Sahara Barat, sebuah wilayah yang dipertikaikan di Afrika Utara.
SADR mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas seluruh wilayah Sahara Barat, tetapi Maghribi mentadbir kira-kira 80 peratus kawasan berkenaan yang dianggapnya sebagai Wilayah Selatan negara itu.
-- BERNAMA-MAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial