BELANJAWAN 2025 > BERITA

Buat Kenyataan Palsu Dalam Program 'live' Di Tiktok, Ibu Tunggal Didenda RM4,000

25/10/2024 02:15 PM

GEORGE TOWN, 25 Okt (Bernama) -- Seorang ibu tunggal didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung di aplikasi TikTok.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin memerintahkan Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh menjelaskan denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung 'Rancangan Heart 2 Heart' di aplikasi TikTok dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam dengan mendorong pegawai penyiasat untuk melakukan siasatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pangsapuri PPR Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth dekat sini pada 3.30 petang, 26 Julai lepas mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali memohon hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh menyebabkan kegentaran kepada orang awam, memberi kesan negatif kepada masyarakat dan menyebabkan berlaku isu perkauman serta ketidakamanan dalam negara.

"Pendakwaan memohon agar kepentingan awam dan penggunaan media sosial yang sangat meluas dalam kalangan masyarakat diambil kira, di mana semua lapisan masyarakat telah melihat posting orang kena tuduh (OKT) dan ini telah memberikan impak negatif," katanya.

Nurul Atikah turut memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar berhati-hati memberikan maklumat ketika menggunakan platform media sosial selain memberi mesej kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan yang sama dalam menggunakan media sosial.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu  denda minimum kerana tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menyara dua anak dan ibunya dengan pendapatan RM1,600 sebulan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake memaklumkan wanita mendakwa dirinya dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Ah Long di Pulau Pinang, menerusi satu sesi audio siar di laman sosial TikTok akan didakwa di mahkamah kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum.

Pada 30 Sept lepas, media melaporkan ​tular video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi enam minit 45 saat memaparkan perbualan hos audio siar bersama seorang pemanggil wanita.

Namun, siasatan polis mendapati kejadian dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ahlong di ‘rumah merah (rumah pelacuran)’ adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku, malah wanita itu telah mereka cerita kejadian tersebut sekadar untuk meluahkan perasaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan