KAJANG, 25 Okt (Bernama) -- Seorang ibu tunggal anak lima akhirnya boleh menarik nafas lega apabila empat anaknya yang sebelum ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, menerima sijil kelahiran dan MyKid masing-masing hari ini.
Hasmida Hamid, menerima dokumen empat anaknya berusia setahun, tiga tahun, lima tahun dan enam tahun daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Hospital Kajang di sini.
Kes itu mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selepas kisah Hasmida untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi empat anaknya hasil perkahwinan keduanya, tular di sosial media baru-baru ini.
Mengulas kes itu, Saifuddin berkata kes berkenaan berlaku susulan kegagalan Hasmida dan pasangannya mendaftarkan perkahwinan yang berlangsung di luar negara, kepada pihak berkuasa agama selepas kembali ke negara ini.
“Perkahwinan kedua itu membawa kepada kelahiran empat orang anak, setiap anak itu gagal didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
“Berdasarkan siasatan, kes ini dikategorikan sebagai daftar kelahiran lewat dan keempat-empat anak itu kita keluarkan sijil lahir kerana ibunya seorang warganegara,” katanya.
Majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias merupakan sebahagian Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) anjuran JPN, yang diwujudkan sebagai program outreach untuk menangani kes-kes sebegini.
Pada majlis itu, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu tunggal itu untuk meringankan beban, selepas perkahwinan keduanya turut berakhir dengan perceraian.
Saifuddin berkata Hasmida yang berasal dari Tumpat, Kelantan mempunyai seorang lagi anak daripada perkahwinan pertama, tetapi tidak mempunyai sebarang isu kerana mempunyai dokumen pengenalan diri.
Selain itu, Saifuddin turut menyeru masyarat agar mengambil iktibar daripada kes ini dan tidak melengahkan pendaftaran kelahiran, bagi mengelak menyusahkan kehidupan anak-anak di masa depan.
“Saya juga ucap terima kasih banyak kepada JPN kerana pantas mengambil usaha untuk membantu Hasmida,” katanya.
Dalam pada itu, Hasmida melahirkan rasa syukur dan menyatakan perhargaannya kepada Kementerian Dalam Negeri khususnya JPN, kerana bertindak pantas menyelesaikan masalah dihadapinya. Ibu tunggal itu kini terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga anaknya yang sakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial