BELANJAWAN 2025 > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagkan Dalam Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

26/10/2024 01:50 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam kecenderungan meningkat minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata prospek itu didorong kebanyakannya oleh kadar pengeluaran yang lebih perlahan serta permintaan kukuh dicatatkan dalam beberapa minggu lepas.

“Kami menjangkakan harga MSM antara RM4,450 dan RM4,650 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata aktiviti pengambilan untung dijangka akan berlaku dalam pasaran MSM minggu depan kerana dana lindung nilai telah membeli lebih US$20 bilion dalam niaga hadapan pertanian termasuk minyak sawit sejak tujuh minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata minggu depan akan menjadi minggu dagangan yang singkat susulan cuti umum sempena perayaan Deepavali disambut pada Khamis (31 Oktober).

“Kebanyakan mereka yang menyambut Deepavali akan bercuti mulai Isnin termasuk peniaga antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, sebuah syarikat Fitch Solutions, BMI kontrak niaga hadapan MSM mencecah RM4,486 satu tan pada 23 Oktober, 2024, paras tertinggi direkodkan sejak Julai 2022.

“Setakat 23 Okt, harga minyak sawit meningkat 22.6 peratus pada 2024 manakala penutupan pada 23 Okt itu sendiri mewakili kenaikan 19.5 peratus berbanding paras harga 12 bulan sebelumnya.

“Secara ringkasnya, pemacu utama kekuatan harga minyak sawit pada bulan Oktober ialah kebimbangan terhadap bekalan eksport, kekuatan harga minyak boleh dimakan, perkembangan kadar pertukaran dan peningkatan risiko dalam pasaran bahan api,” katanya dalam laporan prospek harga minyak sawit.

Sehubungan itu, BMI menjangkakan harga purata minyak sawit RM3,850 setan pada 2024 berbanding harga purata sehingga dan termasuk Oktober 2023 sebanyak RM3,966 satu tan (atau RM3,937 setan sebelum Oktober).

Bagi 2025 pula, ia mengunjurkan purata harga minyak sawit adalah RM3,650 satu tan.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM314 kepada RM4,632 satu tan, Disember 2024 naik RM310 kepada RM4,584 setan dan Januari 2025 melonjak RM281 kepada RM4,536 setan.

Kontrak Februari 2025 menambah RM258 kepada RM4,481 satu tan, Mac 2025 meningkat RM234 kepada RM4,423 setan dan bulan baharu April 2025 naik RM205 kepada RM4,152 setan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 428,573 lot daripada 511,988 minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 252,233 kontrak daripada 258,075 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Oktober Selatan melonjak RM300 kepada RM4,680 setan pada Jumaat daripada RM4,380 setan seminggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan