BELANJAWAN 2025 > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Penurunan Harga Minyak Jejas Sentimen Pasaran

28/10/2024 10:52 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, berikutan penurunan harga minyak mentah dan minyak kacang soya terus menjejaskan sentimen, kata peniaga minyak sawit.

Peniaga Minyak Sawit David Ng memberitahu Bernama pihaknya mendapati harga disokong pada RM4,480 satu tan manakala RM4,620 satu tan menjadi paras rintangan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group, Anilkumar Bagani berkata ringgit yang lemah, eksport kukuh minyak sawit Malaysia pada Oktober, stok yang terhad dan kadar pengeluaran minyak sawit yang rendah telah menyokong komoditi itu.

Semua keadaan itu juga telah mengehadkan penurunan niaga hadapan MSM dalam denominasi ringgit, katanya.

Beliau berkata penjualan awal telah dikekang dan harga dagangan dilhat tidak banyak berubah.

“Harga minyak mentah susut sebanyak hampir US$4 setong pada Isnin selepas serangan balas Israel ke atas Iran pada hujung minggu melangkau infrastruktur minyak dan nuklear Tehran.

“Ini tidak mengganggu bekalan tenaga sekali gus meredakan ketegangan geopolitik di Timur Tengah secara keseluruhannya,” katanya.

Semasa laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent yang penanda aras berada pada US$71.68 setong, susut sebanyak 5.75 peratus.

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan November 2024 kurang RM1 kepada RM4,631 satu tan, Disember 2024 turun RM8 kepada RM4,576 satu tan manakala Januari 2025 menguncup RM7 kepada RM4,529 satu tan.

Februari 2025 susut RM11 kepada RM4,470 satu tan, Mac 2025 turun RM17 kepada RM4,406 satu tan, dan April 2025 merosot RM22 kepada RM4,335 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 60,668 lot daripada 97,467 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 248,979 kontrak daripada 252,233 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan tidak berubah pada RM4,680 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan