BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peniaga Khemah Biru Diarah Henti Operasi Di Pantai Port Dickson Mulai 18 Nov

27/10/2024 12:51 PM

PORT DICKSON, 27 Okt (Bernama) -- Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan semua peniaga khemah biru di pantai Port Dickson menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 Nov ini.

Yang Dipertua MPPD Hasnor Abd Hamid berkata notis arahan menghentikan perniagaan berkenaan melibatkan Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.

Beliau berkata ia sebagai langkah persediaan bagi menambah baik perniagaan khemah di pusat peranginan berkenaan.

"Pengusaha khemah juga dikehendaki melakukan pembersihan termasuk mengalihkan semua peralatan seperti khemah, meja, kerusi, payung, struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata mereka dilarang untuk memulakan apa-apa perniagaan sebagai ganti dan jika tidak dipatuhi tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata isu berkaitan kawasan Pantai Telok Kemang itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung dan akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata proses perbincangan dijalankan bersama peniaga sewaan khemah terbabit bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan