BELANJAWAN 2025 > BERITA

KEDA Bantu Tingkat Keupayaan Komuniti Masyarakat Menerusi Program Santuni MADANI

27/10/2024 04:50 PM

ALOR SETAR, 27 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan membantu meningkatkan keupayaan komuniti masyarakat di negeri ini, dengan memudah cara penyelarasan bersama agensi berkaitan isu pengangguran, ekonomi dan sosial menerusi ‘Program Satu Pemimpin Satu Kampung’ (Santuni MADANI).

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata ia selari dengan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu meningkatkan potensi kampung serta keupayaan komuniti masyarakat melalui sesi libat urus dan pemantauan secara berterusan oleh pemimpin.

"Kampung Sebarang Perak merupakan antara kampung terawal program Santuni MADANI oleh KEDA. Tujuan utama aktiviti yang dijalankan di bawah program ini adalah untuk memantapkan tadbir urus pengurusan kepimpinan komuniti di sesebuah kampung.

"Kita juga mahu pastikan, dalam menyantuni masyarakat kampung dalam dan luar bandar, kita bantu selaraskan pelbagai perkara antaranya melibatkan isu kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, infrastruktur dan penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Santuni MADANI di Kampung Seberang Perak di sini hari ini.

Beliau berkata masih ramai rakyat Kedah yang tercicir dalam pendidikan, dan KEDA yang mempunyai Kolej KEDA boleh membantu untuk memberi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak kampung supaya dapat meningkatkan ilmu terutamanya dalam bidang kemahiran.

"Ada anak-anak yang lemah akademik tetapi minat bidang kemahiran, jadi kita bantu latih mereka supaya apabila keluar nanti mereka boleh bekerja dalam industri dan bidang yang dipelajarinya sebelum ini. Kita juga akan libatkan pegawai dan agensi berkaitan untuk turut sama membantu meningkatkan keupayaan komuniti," katanya.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Seberang Perak hadir bagi menjayakan Santuni MADANI anjuran KEDA di pekarangan Masjid Al-Ihsan yang bermula dari 9 pagi hingga 10 malam ini yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.

"Program hari ini dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat. Penduduk berpeluang untuk berinteraksi dengan 18 agensi kerajaan dan swasta melalui kaunter perkhidmatan bergerak dan pameran yang turut disertai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti disediakan iaitu sukan rakyat seperti congkak, karom, sepak raga bulatan serta pertandingan mewarna yang melibatkan peserta dari pelbagai peringkat umur. Selain itu, Kolej KEDA turut memberikan perkhidmatan menukar minyak hitam secara percuma," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan