BELANJAWAN 2025 > BERITA

PBT Diharap Segera Pasang Hiasan Deepavali Di Kawasan Penduduk India - MIC

27/10/2024 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta majlis daerah di seluruh negara diharap dapat segera memasang hiasan bersempena dengan Deepavali di kawasan yang mempunyai ramai penduduk kaum India.

Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah dalam kenyataan hari ini berkata beliau menerima aduan daripada penduduk ibu kota, termasuk di kawasan Jalan Ipoh Batu 2 1/2 dan Jalan Kuil di Hilir Sentul, yang masih belum dihiasi dengan dekorasi Deepavali.

Beliau berkata hiasan di kawasan berkenaan bukan sahaja akan menceriakan suasana menjelang pesta cahaya itu, tetapi juga melambangkan semangat perpaduan sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada masyarakat India yang bakal menyambut Deepavali pada 31 Okt ini. 

“Di samping itu, hiasan yang menarik turut berpotensi menarik pelancong antarabangsa untuk menyaksikan keunikan dan kepelbagaian budaya di Malaysia sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan negara.

“Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera agar sambutan Deepavali tahun ini lebih meriah dan bermakna bagi masyarakat India serta memberi imej positif kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan