BELANJAWAN 2025 > BERITA

Deepavali: Dua Veteran Media Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

28/10/2024 04:34 PM

GOMBAK, 28 Okt (Bernama) -- Dua veteran petugas media hari ini menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, sempena sambutan Deepavali.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kedua-dua penerima itu ialah bekas wartawan Tamil Malar R. Saraspathy dan bekas pembaca pruf Tamil Nesan S. Batemaly.

“Kedua-dua mereka telah lama berkhidmat dalam bidang media… dan sekarang mereka tidak lagi boleh bekerja.

“Saya berharap dengan sedikit sumbangan yang disampaikan ini, rakan-rakan media yang kurang bernasib baik yang bakal menyambut Deepavali, akan dapat merasakan sedikit keceriaan dan kegembiraan sempena sambutan yang penting ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni kedua-dua penerima itu di kediaman masing-masing di Batu Caves dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Presiden Pertubuhan Media Tamil Malaysia S. Muthameez Manan.

Saraspathy, 56, yang bertugas di Tamil Malar selama 21 tahun, diserang strok pada 2022 dan kini mengalami masalah penglihatan serta gangguan ingatan, selain turut menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Batemaly, 75, pula telah bertugas di Tamil Nesan selama 46 tahun, juga menghadapi masalah kesihatan termasuk kencing manis kronik dan epilepsi tahap awal, yang menyebabkan kelemahan pada tangannya serta pernah menjalani pembedahan polip pundi hempedu.

Sementara itu, Fahmi berkata Pertubuhan Media Tamil Malaysia telah mengenal pasti 16 pengamal media berketurunan India yang memerlukan untuk menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA sempena sambutan Deepavali, termasuk Saraspathy dan Batemaly.

Beliau berkata baki penerima bantuan tersebut akan menerima sumbangan sebelum perayaan Deepavali pada Khamis ini.

Selain bantuan kewangan, penerima turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan dengan sokongan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan AEON BiG.

Fahmi berkata seramai 164 rakan media telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas.

“… bantuan yang kita sampaikan, selain barangan dan wang tunai, ada beberapa perkara yang akan kita susuli terutama bagi mereka yang memerlukan bantuan dari segi perubatan atau daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Bernama, bertujuan menjaga kebajikan petugas media yang sedang atau pernah berkhidmat dan memerlukan sokongan khusus, terutama yang mengalami masalah kesihatan yang meruncing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan