BELANJAWAN 2025 > BERITA

Makmal Perubatan Lablink Lancar Perkhidmatan Diagnostik Mikologi Swasta Pertama Di Malaysia

27/10/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Makmal Perubatan Lablink, penyedia terkemuka perkhidmatan diagnostik canggih, melancarkan perkhidmatan khusus mikologi, menjadikan ia makmal rujukan swasta pertama di Malaysia dengan ujian mikologi menyeluruh.

Penawaran baharu ini menandakan langkah penting dalam komitmen Lablink untuk meningkatkan keupayaan diagnostik dan menambah baik hasil rawatan pesakit.

Lablink dalam kenyataan hari ini memaklumkan mikologi, iaitu kajian tentang kulat, adalah penting untuk mendiagnosis jangkitan kulat yang semakin lazim dan boleh mengancam nyawa.

"Penyakit kulat menjejaskan lebih satu bilion masyarakat di seluruh dunia dan menyebabkan lebih 1.5 juta kematian setiap tahun. Di Malaysia, dianggarkan 1.93 peratus penduduk mengalami jangkitan kulat yang serius setiap tahun, bersamaan dengan lebih 590,000 kes.

"Antara kes ini, kandidiasis vagina berulang adalah sangat lazim, dengan lebih 500,000 kes dilaporkan setiap tahun. Jangkitan kulat sangat berbahaya bagi individu yang imunokompromi seperti pesakit HIV/Aids, pesakit kanser, dan mereka yang berada di unit rawatan intesif," menurut kenyataan itu.

Pelancaran perkhidmatan mikologi itu diadakan pada Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kehadiran barisan profesional bidang kesihatan, pakar industri dan pihak berkepentingan.

Menurut kenyataan itu, iklim tropika Malaysia mewujudkan persekitaran ideal untuk kulat seperti Aspergillus, Cryptococcus, dan Histoplasma.

Walaupun keperluan semakin meningkat, diagnostik mikologi agak ketinggalan berbanding bidang seperti bakterialogi dan virologi, dengan banyak jangkitan kulat tidak dapat dikesan kerana keupayaan diagnostik dan pemantauan terhadap ketahanan antifungal yang terhad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Makmal Perubatan Lablink Dolly Lim berkata makmal mikologi Lablink menawarkan potensi ujian mikologi yang komprehensif.

"Lablink sedia untuk berfungsi sebagai hab yang membekalkan akses kepada teknologi terkini dan keupayaan ujian mikologi yang komprehensif kepada pakar kesihatan," katanya.

Lablink kini menawarkan perkhidmatan ujian menyeluruh termasuk kultur dan identifikasi kulat, ujian sensitiviti, diagnostik molekul, dan penjujukan generasi akan datang (NGS).

Perkhidmatan baharu ini ialah sebahagian daripada misi Lablink untuk terus membangunkan dan memperkenalkan penyelesaian khusus kepada pakar kesihatan untuk melakukan diagnosis lebih tepat dan rawatan yang lebih bersasar.

Maklumat lanjut mengenai Makmal Perubatan Lablink dan perkhidmatan mikologi terbaharu, sila layari www.kpjlablink.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan