BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kebakaran Tawau: Herriz Sedang Nyenyak Tidur - Ibu Saudara

27/10/2024 10:20 PM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 27 Okt (Bernama) -- Putra Herriz Azmil, 5, yang rentung dalam kebakaran membabitkan 38 rumah di Kampung Jati, Batu 5 di sini sedang nyenyak tidur ketika kejadian.

Ibu saudara mangsa Noor Hajijah Matrol, 43, berkata anak saudaranya itu sudah dikejutkan ibunya dan mungkin tidur semula. 

"Adik saya beritahu dia sudah bawa keluar, dia ingat bapanya sudah bawa anaknya keluar dari rumah tetapi ketika itu keadaan sungguh kelam kabut.

"Selepas itu baru sedar anak saudara hilang, puas kami cari sampai merata tempat namun tak jumpa tetapi ada yang cakap dengar budak menangis … anak saudara saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4 di sini selepas selesai urusan di unit forensik Hospital Tawau," katanya kepada Bernama.

Noor Hajijah berkata ketika kejadian, semua 13 ahli keluarganya berada di rumah serta ada yang sudah nyenyak tidur dan kejadian berlaku sewaktu bekalan elektrik terputus selepas ribut serta hujan lebat.

Seorang lagi mangsa, Ansar Mohd Suri, 56, berkata dia menyedari berlaku kebakaran selepas mendengar teriakan jiran. 

"Sebelum kejadian saya tidak dapat tidur, biasanya sebelum 9 malam saya sudah tidur tetapi malam tadi saya rasa gelisah sepanjang malam, cucu-cucu saya pun menangis tidak dapat tidur.

"Selepas itu saya dengar jiran berteriak ada kebakaran dan saya lari keluar melihat beberapa rumah jiran terbakar, saya bergegas dan arahkan isteri dan anak bawa keluar cucu, selamatkan diri," katanya yang tinggal di rumah itu lebih 10 tahun.

Ansar menganggap kejadian itu ujian Allah serta reda dengan apa yang berlaku selain bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Hamild Awang yang meninjau lokasi kebakaran berkata Jabatan Kebajikan sedang mengemas kini jumlah mangsa terjejas.

"Setakat 2 petang ini, 48 ketua keluarga mendaftar dengan Jabatan Kebajikan sebagai mangsa kebakaran.

"Kebakaran berlaku pada 12.45 tengah malam, saya difahamkan punca kebakaran mungkin daripada api lilin, ketika itu bekalan eletrik terputus selepas berlaku ribut dan hujan lebat, saya  berharap jawatankuasa bencana dapat mengambil keputusan segera bagi penempatan sementara mangsa kebakaran," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung turut diarah untuk memberikan bantuan kepada penduduk terjejas termasuk menyediakan makanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan