BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dua Jaringan Ahmad Basheer Bantu SPRM Muncul Juara Piala Emas Raja-Raja

27/10/2024 11:44 PM

MELAKA, 27 Okt (Bernama) — Pasukan SPRM muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-102 selepas menewaskan Bomba FC 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini malam ini.

Biarpun SPRM ketinggalan 0-1 di babak pertama, namun skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan Mohd Khalid Shadan tidak berputus asa dan bangkit menjaring dua gol di separuh masa kedua perlawanan.

Pasukan bomba yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Aidil Syazran Sukarno pada minit ke-34 selepas bola rembatannya terkena palang lalu menerjah gawang.

Bersambung separuh masa kedua, SPRM yang bersemangat mencari gol penyamaan, akhirnya  berjaya memperolehi gol pada minit ke-63 menerusi sepakan deras Ahmad Basheer Anas Shamsuri untuk mengikat lawan.

Sebelum 10 minit perlawanan masa sebenar tamat, SPRM diberi sepakan penalti selepas Muhammad Adib Abdul Nahar dijatuhkan pihak lawan.

Tidak menunggu lama, Ahmad Basheer sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan penalti di minit ke- 81 dan keputusan itu kekal sehingga wisel tamat permainan dibunyikan.

Selaku juara SPRM membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala Bomba memenangi RM30,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan