BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kilang Kitar Semula Terbakar Di Pengkalan Chepa

27/10/2024 10:34 PM

KOTA BHARU, 27 Okt (Bernama) -- Sebuah kilang kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini terbakar petang tadi.

Komander Operasi Kanan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zukeri Shafie berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.02 petang, bagaimanapun kebakaran terbabit tidak melibatkan mangsa.

"Sebaik sampai di lokasi, kami mendapati kebakaran itu menyebabkan 80 peratus kilang terbabit terbakar dan kerja operasi pemadaman diteruskan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh terlibat dalam operasi pemadaman.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Khairul Ariffin Che Ramli berkata pihaknya menggunakan lima jentera dan empat lori tangki daripada Syarikat Air Kelantan berikutan bekalan air yang tidak mencukupi untuk memadam api yang terus merebak dan marak di pusat kitar semula itu.

Beliau berkata kebakaran berkenaan melibatkan bahan-bahan sisa pepejal antaranya getah, PVC dan plastik-plastik yang dikitar semula.

“Apabila melibatkan kebakaran sisa pepejal, ia mudah terbakar dalam jangka masa yang lama dan merebak ke tempat lain manakala punca kebakaran itu masih dalam siasatan.

“Kawasan kebakaran berkenaan agak luas iaitu 1.5 ekar manakala kerja-kerja pemadaman api masih lagi berjalan melibatkan keanggotaan sebanyak 40 orang,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian malam ini.

Khairul Ariffin berkata longgokan sisa pepejal berkenaan melibatkan ketinggian antara tiga hingga empat meter dan ia agak menyukarkan operasi bomba untuk memadam kerana kekurangan bekalan air.

Beliau berkata api masih marak hingga kini dan mengeluarkan kepulan asap hitam yang tebal serta berkemungkinan kebakaran padam sepenuhnya esok.

“Saya menasihati orang awam yang berada di kawasan sekitar supaya tidak menghampiri tempat kebakaran demi keselamatan dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan