BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemaju Digalakkan Pasang Panel Solar Dalam Projek Perumahan Baharu - Fadillah

28/10/2024 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan pemaju perumahan memasang panel solar pada bumbung dalam projek perumahan baharu sejajar komitmen Malaysia untuk mencapai sifar pembebasan gas rumah hijau seawal 2050, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada masa ini, Sime Darby Property Bhd mengambil inisiatif melaksanakan projek rintis solar bumbung dalam pembangunan hartanah syarikat itu.

“Ini ialah satu daripada program untuk meletakkan (panel) solar pada bumbung dan kemudian mereka akan membekalkan kembali kepada grid. Hasilnya akan dikongsi termasuk dengan pemilik-pemilik rumah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai inisiatif menggalakkan pemasangan panel solar pada bumbung dalam projek perumahan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kejayaan projek Sime Darby itu akan dijadikan sebagai dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan meneruskan program e-Rebat dengan peruntukan RM70 juta menerusi Belanjawan 2025 dalam usaha mewujudkan kesedaran berhubung kecekapan tenaga serta membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata mereka yang membeli peralatan diluluskan pada kadar lima dan empat bintang akan diberikan rebat berkenaan.

“Mereka boleh menuntut pada SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia).

“Diharapkan dengan program ini, bukan sahaja kesedaran dari segi kecekapan tenaga, tetapi juga diharap dapat membantu khususnya golongan yang memerlukan,” katanya

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung usaha menggalakkan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga dalam kalangan masyarakat khususnya golongan B40.

Menerusi Belanjawan 2025, e-Rebat sehingga RM70 juta disediakan bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan