BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lulusan Sains Perikanan Temui Minat Baharu Dalam Penternakan Ayam Kampung

28/10/2024 05:19 PM

Oleh Azli Shafii

TANAH MERAH, 27 Okt (Bernama) -- Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perikanan Universiti Malaysia Terengganu Wan Hairul Azwan Wan Abdullah, 35, menemui minat baharu dalam penternakan ayam kampung dan kini menjadikan ia sebagai kerjaya. 

Wan Hairul Azwan berkata minat terhadap bidang penternakan itu mula tercetus selepas melihat hasil yang diperoleh pengusaha ayam kampung menerusi media sosial.

"Saya nekad menceburi bidang ini di kawasan rumah di Kuala Paku, secara kebetulan syarikat berkait dengan penternakan ketika itu mencari peserta untuk terlibat dalam projek penternakan ayam kampung, jadi saya mengambil peluang mencapai hasrat menceburi bidang ini.

"Sebelum ini, saya bekerja sementara di sebuah syarikat di Terengganu sebelum pulang ke kampung menjaga ayah sakit dan bekerja sendiri,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Wan Hairul Azwan berkata sebanyak 200 ekor ayam kampung dijadikan sebagai projek pertama atau perintis sebelum terlibat secara serius.

“Saya sentiasa memastikan bekalan ayam kampung sentiasa ada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat malah kemudahan media sosial turut membantunya melakukan promosi serta jualan produk secara dalam talian.

“Penternakan ayam kampung mengambil masa hanya sebulan lebih sebelum boleh dijual pada harga RM17 sekilogram. Peluang dalam bidang penternakan dan pertanian terbentang luas, seharusnya anak muda yang tiada pekerjaan mengambil peluang ini sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengurus Program MyFundAction Kelantan Hariz Danial Safruddin berkata seramai 10 individu dalam kalangan golongan kurang berkemampuan yang disasarkan keluar daripada garis kemiskinan kebangsaan telah dibekalkan 200 anak ayam.

"Mereka menternak ayam ini bagi projek kolaborasi antara All-Party Parliamentary Group Malaysia- Sustainable Development Goals (APPGM- SDG) dan MyFundAction.

"Mereka turut menjalani kelas khas seperti penjagaan reban, pemasaran, pengurusan operasi, kewangan dan lain-lain bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang penternakan ayam kampung," katanya.

Beliau berkata para penternak itu disasarkan untuk membekalkan ayam kampung kepada peraih yang boleh menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan