BELANJAWAN 2025 > BERITA

KUSKOP Sasar Salur Dana Penn Sepenuhnya Menjelang 2025 - Ramanan

28/10/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mensasarkan untuk menyalurkan keseluruhan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) berjumlah RM50 juta yang disediakan kepada Sahabat Usahawan India Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata sehingga 30 September lepas, sebanyak RM22.715 juta sudah disalurkan kepada 2,644 wanita India yang menjadi Sahabat Usahawan AIM sejak PENN dilancarkan pada 13 April.

"Kita lihat sehingga Oktober, setelah enam bulan, memang ia (penyaluran dana) mengikut sasaran dan kita rasa pada hujung 2024 atau permulaan 2025 kita akan habis guna dana ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Taklimat dan Penyerahan Pembiayaan Dana Khas PENN di sini hari ini.

Beliau berkata trend permohonan dan kelulusan terhadap dana itu memperlihatkan peningkatan dengan negeri Perak mencatatkan penerima paling ramai iaitu 818 orang diikuti Selangor (535) dan Pahang (292).

"Oleh itu, saya ingin menyeru lebih ramai wanita India, khususnya golongan muda dan lepasan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan supaya mereka menceburi bidang keusahawanan," katanya.

Ramanan berkata pihak KUSKOP dan agensi-agensi lain menyediakan banyak peluang, latihan dan skim pembiayaan untuk mereka yang berminat.

Mengenai pencapaian AIM, Ramanan berkata agensi itu telah mengeluarkan lebih 4 juta ketua isi rumah daripada belenggu kemiskinan dan berjaya mengekalkan peratus Non-Performing Loan (NPL) sebanyak 0.09 peratus pada tahun lepas.

Majlis turut dihadiri Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin komuniti India serta 60 Sahabat Usahawan AIM berbangsa India di bawah seliaan AIM Wilayah Selangor dan Kuala Lumpur.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan