BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Dahului Senarai 213 Penerima Darjah, Pingat Kebesaran Perak

01/11/2024 12:12 AM

IPOH, 31 Okt (Bernama) -- Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mendahului senarai 213 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-68 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang disambut pada 1 Nov.

Syed Danial, 80, dilantik sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 10 Jan 2011, merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain Syed Danial, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng turut dikurniakan darjah SPMP.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk manakala lapan penerima dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DPMP ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, bekas Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Kumpulan Petronas Abdul Rahim Mydin yang juga penulis undangan untuk akhbar The New Straits Times, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Harith Fadzilah Abdul Halim.

Selain itu, Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr D. Philip Rajan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Salasiah Abdul Wahab, Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri Yong Zarida Sazali, Duta Besar Malaysia ke Belanda Roseli Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Anuar Zainal Abidin turut dikurniakan darjah DPMP.

Ketua Jurukamera Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama TV) Ahmad Azmai Awang pula antara 13 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Sementara itu, sebanyak enam individu menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan; Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) (28 penerima); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14 penerima); Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (39 penerima) dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 61 penerima.

Sejumlah 30 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) antaranya atlet boling padang negara Izzat Shameer Dzulkeple dan Aleena Ahmad Nawawi, atlet Muay Thai negara Nur Amisha Azril Rizal serta pemain sepak takraw negara Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin.

Selain itu, Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) dianugerahkan kepada 10 penerima. 

Terdahulu dalam sidang media, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan dua sesi. 

Beliau berkata kedua-dua sesi istiadat iaitu yang pertama pada 9 Nov dan kedua dijadualkan 16 Nov ini, akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Mohd Zahidi berkata sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada 1 Nov waktu solat Jumaat.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing, katanya.

Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan kepada 7,800 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan penjara negeri Perak (Kinta dan Taiping), yang akan diagihkan Jumaat ini.

Rakyat Perak juga diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan