BELANJAWAN 2025 > BERITA

Khazanah, PNB Terima RM3.1 Juta Hasil Penjualan Saham Fashionvalet - MOF

29/10/2024 11:05 AM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet), menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menjelaskan penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah: RM27 juta, PNB: RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet, tambah kementerian itu.

"Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut MOF menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet serta jumlah kerugian akibat penurunan nilai dan penjualan saham dalam syarikat itu.

MOF juga menjelaskan berikutan pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan syarikat FashionValet telah terjejas teruk dan lanjutan daripada itu, FashionValet memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi. 

"Pada akhir 2023, sebuah syarikat bumiputera iaitu NXBT Partners telah menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB dalam FashionValet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut. 

"Sehubungan itu, kesemua pemegang saham telah bersetuju menerima tawaran tersebut,” tambah MOF.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan