KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pengusaha bas ekspres disaran memohon kenaikan kuota subsidi diesel daripada 6,000 liter kepada 10,000 liter sebulan, bagi membantu mengurangkan beban kos pengendalian operasi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu bersesuaian dengan purata keperluan yang digunakan oleh sebuah bas setiap bulan.
“Tentunya pengusaha bas ekspres ini menghadapi pelbagai cabaran terutama daripada segi kenaikan kos penggunaan bahan api.
“Jadi saya sarankan kepada PEMBAWA (Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung) agar membuat resolusi dalam Mesyuarat Agung ke-44 hari ini memohon kerajaan mempertingkatkan jumlah kuota bagi kenaikan liter (diesel) dari 6,000 kepada 10,000, ertinya kenaikan 4,000 liter bagi setiap bas dengan harga tetap RM1.88 seliter,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuara Agung Tahunan PEMBAWA kali ke-44 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata permohonan kenaikan kuota itu adalah munasabah selepas mengambil kira kepentingan awam kerana bas ekspres merupakan satu daripada pengangkutan penting yang menjadi pilihan rakyat.
Difahamkan bas ekspres di seluruh negara digunakan oleh kira-kira 50 juta penumpang setiap tahun.
Pada Julai lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam Dewan Rakyat memaklumkan kuota subsidi diesel RM1.88 seliter bagi bas ekspress ditingkatkan kepada 6,000 liter sebulan berbanding 2,880 liter yang diberikan sebelum ini.
Beliau berkata, peningkatan itu sekali gus dapat membantu pengusaha bas ekspres untuk mengawal kos terutamanya bahan api dan pengoperasian.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu pengusaha bas turut bersedia membuat perubahan untuk bertukar kepada kenderaan elektrik (EV) yang dikatakan mempunyai manfaat jangka panjang.
“PEMBAWA dan syarikat bas lain harus bawa perubahan terutamanya apabila kerajaan kelak menyarankan agar bas guna tenaga fosil akan bertukar kepada EV dan dalam keadaan ini pihak MARA Liner contohnya akan mengubah kaedah daripada bas konvesional kepada EV.
“Ini kerana jangka panjang penyelenggaraan agak kurang berbanding sistem konvesional …jadi perubahan harus diperhatikan dari sekarang…walaupun cadangan ini tak berapa disukai oleh pelabur tetapi saya amat yakin dengan langkah ini.
“Saya harap perkara ini dapat dimulakan oleh MARA Liner dalam bas ekspres dan bas henti-henti untuk lihat kos operasinya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Prasarana telah membuka tender untuk 250 bas EV beroperasi dan perkara itu mendapat sokongan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial