MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2024 (KUAM 2024) yang berlangsung dari 31 Okt hingga 3 Nov di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini bakal melibatkan kira-kira 488 peserta dengan pelbagai jenis pesawat.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata antara pesawat itu adalah dari badan beruniform, kelab dan akademi penerbangan selain ‘paramotor’, ‘microlight’ serta ‘hang glider’.
"Sudah tentu karnival kali ini akan lebih meriah…selain pelbagai pameran pesawat, terdapat juga pameran kerjaya dan aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.
"KUAM 2024 juga mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Pertahanan yang membawakan pameran aset ketenteraan seperti kereta kebal, pengesan bom, motosikal perang D1 & D2 dan senjata api tentera," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka Saari Basiron.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata selain itu terdapat pameran kerjaya daripada agensi utama seperti Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) untuk memberi maklumat tentang peluang kerjaya dalam sektor keselamatan negara.
"Bagi anak-anak muda yang berminat dengan kerjaya sebagai juruterbang atau jurutera penerbangan, pegawai-pegawai di pameran ini akan memberikan maklumat terperinci mengenai syarat kelayakan, latihan dan laluan kerjaya yang boleh diceburi.
"Dengan adanya simulator jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pengunjung turut dapat merasai sendiri pengalaman mengendalikan jet tempur, satu tarikan yang pastinya akan memberi inspirasi kepada generasi muda," katanya.
Beliau berkata pengunjung dikenakan harga tiket berpatutan iaitu RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak untuk memperolehi pengalaman menarik mengenai bidang penerbangan serta keselamatan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial