Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 29 Okt (Bernama) -- Indonesia mengecam sekeras-kerasnya keputusan Parlimen Israel yang dikenali sebagai Knesset untuk melarang aktiviti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat daripada beroperasi di wilayah itu.
Kementerian Luar Indonesia menyatakan bahawa larangan itu telah mengganggu operasi UNRWA di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza.
"Keputusan ini jelas melanggar dan bercanggah dengan Piagam PBB dan Konvensyen 1946 mengenai kekebalan agensi PBB," kata kementerian itu di akaun X rasminya pada Selasa.
Kementerian Luar Indonesia mengesahkan komitmennya untuk menyokong UNRWA yang memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan bantuan kepada jutaan pelarian Palestin.
Kementerian itu berkata kerajaan Indonesia menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan keputusan Israel dan memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa, resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang bertujuan menamatkan pendudukan di Palestin.
Menerusi catatan di akaun X rasminya, Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini menyifatkan undian oleh Parlimen Israel terhadap agensi itu sebagai tidak pernah berlaku dan berbahaya.
Lazzarini memberi amaran bahawa larangan itu akan menafikan pendidikan kepada lebih 650,000 kanak-kanak Palestin di Gaza, sekali gus mengancam seluruh generasi dan kegagalan untuk menentangnya akan melemahkan mekanisme pelbagai hala pasca Perang Dunia Kedua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial